KUALA LUMPUR – Pengenalan kuota 15 import saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan mencetuskan persoalan tentang masa depan penyerang tempatan memandangkan kecenderungan pasukan untuk mendapatkan pemain asing bagi mengisi posisi itu.
Walaupun peminat kini meraikan kualiti jentera serangan Harimau Malaya yang diisi pemain warisan Gred A, ia mungkin akan memberi kesan psikologi kepada bakat tempatan untuk mengasah sentuhan terutamanya selepas makin banyak kelab tempatan ‘terkubur’.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Indra Putra Mahayuddin berpendirian sebaliknya dan beranggapan pemain tempatan khususnya penyerang wajar memiliki mentaliti tepat jika diberikan peluang.
“Agak sukar bagi pemain tempatan untuk beraksi di bahagian serangan dan kita sendiri tahu setiap kali kelab ambil penyerang import.
“Bagi saya, pemain tempatan kena ada sikap mencabar diri untuk bermain dan membuktikan sebenarnya kita masih ada lagi penyerang yang berbisa.
“Apabila setiap kelab mengambil import, kita perlu cabar diri, tunjukkan kita boleh beraksi dalam kesebelasan utama. Ia akan membuatkan kita mahu buktikan diri bahawa sebenarnya kita boleh jadi seperti mereka import),” katanya.
Apa yang diperkatakan Indra dibuktikan oleh bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi yang menyinar bersama Harimau Malaya ketika membelasah Vietnam 4-0 pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
Walaupun Harimau Malaya diperkuatkan ramai pemain warisan Gred A, Arif yang merekodkan dua bantuan jaringan membuktikan Malaysia tidak pernah ketandusan pemain berkelas tinggi apabila aksinya setaraf dengan bintang berpengalaman di pentas bola sepak global.
“Arif Aiman berada dalam kelas tersendiri. Kita perlukan lebih ramai pemain seperti dia,” kata bekas pengendali kebangsaan, Datuk K. Rajagobal. – KOSMO! ONLINE