PETALING JAYA – Pelakon Rozita Che Wan tampil membidas netizen selepas dituduh sudah bercerai dengan suaminya, Zain Saidin gara-gara jarang berkongsi gambar bersama dalam media sosial.
Kesal dengan dakwaan tersebut, Rozita atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar, 51, memuat naik video bersama suami tersayang dengan kapsyen pedas sebagai ‘jawapan’ balas terhadap tuduhan liar tersebut.
“Belanja gambar dengan Encik Suami sekeping. Amboi, ada yang mulut puaka sakan mengomen ‘lama tak nampak Che Ta mesra-mesra dengan Zain. Harap-harap tak bercerai la ya!’
“Nah! Gambar laki jangan dok tayang sangat, takut nanti ada yang geram,” katanya menerusi Instagram.
Dalam hantaran sama, bintang drama Kiah Pekasam itu turut memberi amaran terbuka kepada penyondol di luar sana agar tidak mengganggu keharmonian rumah tangganya jika tidak mahu ‘dilanyak hidup-hidup’.
“Tapi perempuan-perempuan dekat luar sana, kalian jangan dok cari fasal dengan Che Ta na. Kalau kalian tak mahu ‘berlemoih’, jangan!
“Kalian belum tengok lagi Che Ta naik gila macam mana,” tegasnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyokong tindakan ibu tiga anak itu yang tidak perlu terlalu menayang kebahagiaan dalam media sosial.
“Kadang-kadang lagi kita simpan, lagi bahagia. Bukan semua benda kena tunjuk,” komen netizen.
“Bukan bermakna yang selalu post gambar itu bahagia, ramai je artis bukan main bahagia lagi dalam media sosial, hujung-hujung cerai juga,” tulis pengguna media sosial.
Untuk rekod, Rozita dan Zain berkahwin pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana, kini berusia 11 tahun.
Terdahulu, dia pernah mendirikan rumah tangga bersama Azuar Effendy Zulkafly pada 26 Ogos 1995, namun berpisah pada 8 Mei 2003.
Hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan dua anak lelaki, Ammar Effendy, 29, dan Aniq Ezzra, 27. – KOSMO! ONLINE