RAWANG – Seorang pekerja asing maut ditimpa sebatang cerucuk konkrit yang terlucut daripada pencangkuk di sebuah tapak pembinaan di sini, pagi kelmarin.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi.
JKKP yang menerima laporan kemalangan tersebut pada pukul 11.38 pagi hari yang sama telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan, semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang pekerja subkontraktor yang bekerja sebagai pengendali jentera cerucuk (piling machine).
Jelasnya semasa kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja-kerja menegakkan dua batang cerucuk konkrit (RC pile) menggunakan jentera khas, dengan bantuan rakan sekerja dan diselia oleh seorang penyelia projek.
“Ketika kerja-kerja menarik dan menegakkan cerucuk tersebut, salah satu daripada cerucuk yang diangkat terlucut daripada pencangkuk digunakan.
“Cerucuk yang jatuh telah mengenai kabin jentera dan menyebabkan mangsa panik lalu melompat keluar. Malangnya, mangsa telah ditimpa cerucuk yang terjatuh dan mengalami kecederaan parah,” katanya.
Tambah JKKP Selangor, mangsa disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Sementara itu susulan daripada siasatan tersebut, JKKP Selangor mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian sehingga siasatan selesai dan satu notis larangan dikeluarkan bagi aktiviti kerja pemasangan cerucuk.
Ujarnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.
“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE