Banyak pasukan lebih meriah – Sanusi

1 day ago 9

ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sudah mempunyai penaja bagi membiayai perbelanjaan sepanjang Liga A1 pada musim hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada masalah kepada pasukan itu untuk beraksi dalam liga berstatus semi pro tersebut di samping Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tersingkir daripada Liga Super.

Kata beliau, isu penyertaan banyak pasukan tidak perlu dirisaukan selagi mana pasukan mempunyai kemampuan dalam pelbagai aspek termasuk kewangan dan komitmen.

“KDA FC baru dikatakan nak masuk Liga A1, biar sahih dahulu dan yang saya tahu KFA akan masuk A1 tetapi KDA FC saya tak tahu, itu kelab.

“Di dunia ini macam-macam tempat ada dua, tiga pasukan tak ada masalah. Negeri Selatan itu pun banyak pasukan yang masuk macam-macam liga tak ada isu. Kenapa orang nak pening di Kedah atau saja-saja buat pening, pergilah pening tempat lain,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah ditemui selepas Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan Projek iCON Yan dan Baling anjuran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, arena bola sepak Kedah secara tidak langsung akan terus meriah dengan penyertaan banyak pasukan untuk bermain dalam liga-liga yang dianjurkan di Malaysia.

“Kalau banyak pasukan penyokong akan lebih ramai, orang lebih ramai pergi ke stadium dan bola sepak akan bersemarak semula sebab pasukan banyak untuk disokong.

“Isunya kalau tak ada penaja, bila ada pasukan ada lah orang yang akan taja. Pembiayaan untuk main di Liga A1 lebih rendah dan KFA boleh hantar pasukan untuk berlawan,” katanya.

Sebelum ini, terdapat desas-desus penyokong setia Hijau Kuning dalam dilema sama ada mahu menyokong KFA atau KDA FC yang kedua-duanya akan bertembung dalam Liga A1 sekiranya KDA FC melepasi syarat ditetapkan.

Pada masa sama, peminat bola sepak di Kedah masih berpeluang untuk menonton aksi Liga Super apabila pasukan Imigresen FC yang dinaikkan pangkat ke liga utama itu mahu menjadikan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang mereka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |