Isteri sempat serah bayi, jerit dan melambai sebelum hilang

1 day ago 9

BERA – “Masih terngiang-ngiang suara isteri memanggil saya. Dia jerit ‘abang’ dan melambai tangan sebelum hilang. Saya panggil nama dia (sayang) tetapi tiada jawapan.”

Demikian kata Abdul Wahid Randa,32, suami kepada Sakirah Akop, 31, yang disyaki lemas selepas terjatuh di Sungai Triang di sini semalam

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam, isterinya, Sakirah Akop, 31 bersama bayi perempuan mereka yang berada dalam kereta jenis Perodua Bezza yang diparkir di tepi sungai bergerak secara tiba-tiba sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Bagaimanapun, mangsa sempat menyerahkan anak perempuannya itu kepada Abdul Wahid sebelum dihanyutkan arus deras sungai.

Menurut Abdul Wahid, dia berada di tebing sungai untuk memancing, dan terdengar isterinya menjerit dan melihat kereta miliknya tiba-tiba bergerak ke dalam sungai.

“Saya cuba menahan kereta daripada jatuh tetapi tidak mampu. Saya pergi ke arah isteri, dia buka pintu sambil kaki menolak pintu dan sempat serah anak kepada saya.

“Saya bawa anak naik ke atas dan tinggalkan dia di atas tetapi bila saya hendak turun ke sungai untuk selamatkan isteri, anak mengekori saya. Pada masa itu, saya nampak isteri saya telah hanyut di bawa arus,”katanya di sini hari ini.

Katanya, dia menjerit meminta tolong tetapi tiada sesiapa di kawasan sekitar sebelum berlari ke pasar ayam berdekatan untuk mendapatkan bantuan.

Jelasnya lagi, memang ada penduduk datang namun mereka juga tidak boleh berbuat apa kerana keadaan air sungai yang deras.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kereta milik Abdul Wahid berjaya ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPdA) pada pukul 10.45 pagi ini.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pukul 8 pagi tadi dan anggota PPdA berjaya menemui kereta itu tidak jauh dari lokasi ia terjatuh dan berjaya dinaikkan pada pukul 12.30 tengah hari.

“Bagaimanapun, tiada jasad dalam kereta itu dan usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan dalam radius 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |