Macam Final Destination, lif tersekat di tingkat 99

1 day ago 9

JAKARTA – Seorang lelaki berkongsikan detik cemas ketika dia dan beberapa individu terperangkap di dalam lif bangunan tertinggi di Indonesia pada aras 99, lapor laman berita iNews hari ini.

Berdasarkan video yang dimuat naik di laman Instagram, lelaki tersebut berkata, dia bagaikan mengalami mimpi buruk apabila lif Thamrin Nine di Jakarta itu tidak bergerak selama hampir sejam.

“Saya mengalami ‘mimpi buruk’ bagaikan dalam filem Final Destination. Rupa-rupanya, ia adalah kejadian kedua (lif rosak di Thamrin Nine),” katanya.

Dalam video yang dimuat naik, penumpang pada awalnya dilihat teruja apabila lif itu meluncur naik ke aras tertinggi.

Namun, situasi bertukar cemas apabila pintu lif tidak terbuka sejurus ia tiba di aras 99 pada ketinggian 383 meter.

Sejumlah penumpang dilihat hampir pengsan ketika mereka menanti bantuan daripada pihak pengurusan bangunan.

Bagaimanapun, selepas kira-kira 30 minit terkandas, bantuan belum tiba dan tiada tanda-tanda lif itu akan terbuka.

Akhirnya, setelah 40 minit terperangkap, pintu lif terbuka dan penumpang keluar untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, individu yang memuat naik video itu meluahkan rasa kecewa kerana menurutnya, pihak pengurusan tidak menghentikan seketika operasi lif-lif lain ketika mereka terperangkap.

“Kami sangat kecewa kerana meskipun kami terperangkap di dalam lif, pihak pengurusan masih membiarkan lif lain membawa naik penumpang ke tingkat sama.

“Mujur tidak terjadi perkara yang tidak diingini,” katanya.

Tambahnya, pengawal keselamatan turut mengakui bahawa ia adalah kejadian kedua seumpamanya yang menyaksikan lif itu tergendala. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |