KUALA LUMPUR – Angin baharu Harimau Malaya mula terserlah apabila menjelmakan prestasi luar biasa untuk meraih kemenangan kedua aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 dengan membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Selepas dikecewakan oleh beberapa kegagalan di babak pertama, skuad kendalian Peter Cklamovski menjelmakan permainan lebih bermutu di babak kedua, menyaksikan Harimau Malaya memperoleh tiga gol dalam tempoh 30 minit.
Kemenangan kali ini beri keceriaan berganda buat minat tempatan, menyaksikan Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam dimana kali terakhir skuad negara melakukannya pada 2014.
Paling mencuri perhatian pastinya menjurus kepada persembahan dua pemain warisan baharu, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado malah Pemain Paling Bernilai (MVP), Arif Aiman Hanapi turut menyinar apabila merekodkan dua bantuan jaringan.
Terdahulu, keputusan Cklamovski menyenaraikan empat pemain warisan ‘gred A’, Figueiredo, Holgado, Jon Irazabal dan Facundo Garces dalam kesebelasan utama nyata menghadirkan impak besar kepada persembahan Harimau Malaya yang tampil corak berkualiti tinggi.
Sejak daripada wisel permulaan dibunyikan, skuad negara nyata mendominasi permainan dan perkara paling positif yang diserlahkan adalah pendekatan tekanan lebih awal setiap kali bola dalam penguasaan Vietnam.
Selain percubaan Dion Cools pada minit ke-36 yang terkena tiang, Malaysia juga terlepas dua lagi peluang terbaik dalam tempoh lima minit terakhir, masing-masing menerusi Figueiredo dan Arif Aiman pada minit ke-40 dan 44.
Usaha keras Figueiredo akhirnya terbalas apabila hanya memerlukan empat minit di babak kedua untuk meletakkan Harimau Malaya di depan dan 10 minit selepas itu skuad negara makin selesa apabila Holgado pamer ketenangan untuk menyempurnakan umpanan Arif Aiman.
Minit ke-67, Arif Aiman memberikan bukti kukuh kepada penyenaraiannya dalam kesebelasan utama, kali ini melakukan umpanan yang disempurnakan oleh La’Vere Corbin-Ong.
Cools yang baharu saja diumumkan sebagai pemain baharu kelab Jepun, Cerezo Osaka menutup pesta kemenangan Malaysia apabila meledak gol keempat pada minit ke-88.
Tiga mata kali ini menyaksikan Harimau Malaya memimpin carta Kumpulan F dengan meraih mata maksimum daripada dua perlawanan, diikuti Vietnam dan Laos dengan tiga mata manakala Nepal keempat tanpa sebarang mata. – KOSMO! ONLINE