SUBANG – Bilangan kes hibah yang dicabar di mahkamah telah menunjukkan peningkatan signifikan sejak akhir-akhir ini, yang memberi cabaran baharu kepada industri.
Menurut Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin, sepanjang dekad pertama syarikat beroperasi sejak 2004, daripada 10 kes hibah yang diuruskan pihaknya, mungkin hanya satu yang dicabar waris di mahkamah.
Bagaimanapun, jelasnya, sejak 10 tahun lalu, daripada 10 kes hibah, mungkin lima atau enam daripadanya dicabar di mahkamah dan berdasarkan pemerhatian pihaknya, lonjakan itu mungkin disebabkan empat faktor utama.
“Pertama ialah suasana ekonomi semasa yang kian mencabar, menyebabkan pembahagian harta pusaka memberi impak signifikan kepada ekonomi keluarga dan kedua, institusi keluarga itu sendiri makin lemah dengan hubungan kekeluargaan semakin renggang.
“Ketiga, adanya pengaruh daripada pihak ketiga seperti menantu atau ipar duai dan akhir sekali, nilai harta pusaka itu semakin meningkat mengikut masa,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Baru-baru ini, viral kes hibah takaful bernilai RM1 juta terbatal apabila waris pemberi hibah yang telah meninggal dunia mencabar kes itu di Mahkamah Tinggi.
Menurut Ariffin, isu berkenaan merupakan isu teknikal proses perundangan dan ia secara spesifik melibatkan hibah bagi manfaat takaful sahaja, bukan melibatkan keseluruhan industri dan terkait dengan isu keabsahan Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Beliau percaya, akan ada proses perundangan lanjutan daripada kes itu dan masyarakat perlu memberi ruang proses itu berjalan sebelum membuat sebarang kesimpulan akhir.
“Terdapat bidang kuasa eksklusif di antara kedua-dua mahkamah syariah dan mahkamah sivil, yang mana urusan pengesahan hibah dilaksanakan di mahkamah syariah, manakala urusan pentadbiran harta pusaka dilaksanakan di bawah undang-undang sivil di Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi.
“Teknikaliti ini sukar difahami masyarakat, jadi kami memperkenalkan perkhidmatan hibah komprehensif dan Al-Wasitah, iaitu khidmat pengesahan hibah dan pentadbiran harta pusaka secara percuma untuk waris pelanggan kami.
“Kes hibah yang dicabar oleh waris di mahkamah tidak boleh dielakkan, namun setakat ini kami menang kesemua kes-kes yang telah selesai, walaupun masih ada kes yang sedang berjalan di mahkamah. Jadi kami ada rekod bersih,” tegasnya.
Wasiyyah hari ini menguruskan lebih RM50 bilion nilai harta pusaka daripada lebih 100,000 pelanggannya.
Setakat 31 Disember lalu, lebih 800 pelanggannya telah meninggal dunia dengan nilai harta pusaka yang telah dibantu urus oleh syarikat untuk diturunmilik kepada waris yang berhak melebihi RM1 bilion. -KOSMO! ONLINE