SHAH ALAM – Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh menyifatkan aksi persahabatan menentang Wales pada Jumaat ini sebagai medan terakhir untuk menilai kekuatan penuh pasukan sebelum memulakan kempen sebenar Piala Negara-Negara FIH pada Ahad ini.
Speedy Tigers akan membuka saingan Kumpulan B menentang Pakistan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, manakala perlawanan menentang Wales menjadi penutup kepada siri persiapan intensif selepas Jelajah Australia dan Korea sebelum ini.
“Ia satu-satunya peluang untuk menilai kesemua 20 pemain sebelum kejohanan sebenar Piala Negara-Negara,” kata Sarjit selepas majlis pengenalan kenderaan rasmi kejohanan di Pusat Pameran Mazda Glenmarie, Shah Alam hari ini.
Sarjit menjelaskan tahap persefahaman pemain kini semakin baik dan hubungan dalam skuad kebangsaan berada pada landasan yang positif.
“Saya bersama pasukan sudah lebih setahun dan kini pemain semakin faham antara satu sama lain serta apa yang diperlukan oleh pasukan. Hubungan kami makin kukuh dan motivasi mereka sangat tinggi,” tambahnya.
Jurulatih itu turut meletakkan sasaran realistik untuk meraih enam mata maksimum dalam dua aksi pertama sebagai laluan terbaik ke separuh akhir.
“Kalau menang dua perlawanan pertama dan kumpul enam mata, peluang ke separuh akhir sangat cerah. Sasaran itu adil berdasarkan perkembangan semasa pasukan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Sarjit menegaskan keperluan untuk menyempurnakan peluang di hadapan gol agar beban tekanan tidak terlalu terarah kepada benteng pertahanan.
“Kita perlu cipta lebih banyak peluang dan selesaikan dengan lebih klinikal. Kalau kita ambil peluang yang ada, kerja pertahanan pun akan jadi lebih mudah dan tidak terlalu tertekan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE