Blok terbakar : PIBG KUSESS gesa semak semula keselamatan SBP

1 day ago 10

PETALING JAYA – Insiden kebakaran yang mengejutkan di Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASAS) di sini, kelmarin mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh negara.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (KUSESS), Mohd Nazri Md Akim menyeru penilaian menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan infrastruktur semua SBP di Malaysia.

Menurutnya, walaupun kebakaran itu tidak berlaku di KUSESS, kesannya tetap dirasai oleh komuniti SBP lain, termasuk ibu bapa dan pelajar.

“Kami dari PIBG KUSESS ingin menyampaikan ucapan takziah dan sokongan moral kepada seluruh warga sekolah tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Nazri juga menyuarakan kebimbangan tentang keadaan fizikal dan keselamatan infrastruktur SBP yang sebahagiannya telah berusia lebih dua dekad, bahkan ada yang menghampiri 100 tahun.

Katanya, antara isu yang dibangkitkan termasuk sistem pendawaian usang, paip berkarat, penggunaan bahan pembinaan lama seperti asbestos, dan struktur bangunan yang mudah terdedah kepada kerosakan tersembunyi.

“Walaupun penyelenggaraan dilakukan setiap tahun, realiti ‘wear and tear’ tetap berlaku. Banyak kerosakan tidak dapat dikenal pasti secara mata kasar dan memerlukan penilaian teknikal menyeluruh,” jelasnya.

Beliau berkata, pelajar SBP yang tinggal 24 jam sehari di sekolah menjadikan isu keselamatan infrastruktur sebagai perkara yang sangat kritikal dan tidak boleh dipandang ringan.

Mohd Nazri turut menzahirkan harapan agar pihak kerajaan, khususnya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi perhatian serius terhadap isu ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan bangunan pentadbiran Sekolah Menengah Sains Alam Shah hangus terbakar dalam satu kejadian awal pagi semalam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.15 pagi sebelum menggerakan jentera ke lokasi kejadian.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |