KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara melakar detik bersejarah apabila buat julung kalinya menguasai kedudukan nombor satu dan dua dunia dalam ranking beregu lelaki yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Gandingan profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei terus gah mengukuhkan cengkaman mereka di takhta No. 1 dunia buat minggu kedua berturut-turut dengan mengumpul 91,090 mata.
Sementara itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melengkapkan penguasaan Malaysia dengan melonjak ke kedudukan No. 2 dunia selepas mengumpul 89,870 mata dan hanya dipisahkan 1,220 mata dengan rakan senegara.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah sukan badminton negara menyaksikan dua wakil beregu lelaki menduduki dua tangga teratas ranking dunia secara serentak.
“Buat pertama kali dalam sejarah badminton negara, dua beregu lelaki Malaysia menduduki dua kedudukan teratas dalam ranking dunia, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia–Soh Wooi Yik di tempat kedua.
“Dalam kategori beregu wanita, Pearly Tan–M. Thinaah turut mencatat pencapaian terbaik kerjaya mereka apabila naik ke ranking ketiga dunia,” kata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi kenyataan rasmi di media sosial milik mereka, hari ini.
Beregu wanita, Pearly-M. Thinaah melonjak ke tangga ketiga dunia apabila mengumpul 86,066 mata selepas ia dibantu dengan prestasi cemerlang ke final pada Terbuka Indonesia Ahad lalu.
Beregu Denmark, Kim Astrup–Anders Skaarup Rasmussen jatuh No. 3 dunia selepas kini hanya mampu mengumpul 88,061 mata dan ketinggalan 1,809 mata dengan Aaron-Wooi Yik.
Selain itu, beregu lelaki yang sedang meningkat maik, Tee Kai Wun–Man Wei Chong kekal di tangga ketujuh dunia (71,843 mata), sementara beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei berada di ranking No. 4 dunia (82,383 mata).
Namun, pasangan suami isteri, Goh Soon Huat–Shevon Lai pula ditolak ke tangga keenam dunia selepas mengumpul 78,448 mata.
Untuk pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia turun enam anak tangga ke kedudukan ke-21 dunia selepas dirinya tidak menyertai beberapa kejohanan sejak mengalami kecederaan. -KOSMO! ONLINE