Malaysia-Poland komited tingkat kerjasama ASEAN, EU

1 day ago 10

PUTRAJAYA – Malaysia dan Poland menyatakan kesediaan untuk mempertingkatkan kerjasama antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) dengan memanfaatkan kedudukan masing-masing sebagai pengerusi bagi melaksanakan perkongsian lebih strategik ada kedua-dua blok.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjajaran diplomatik itu dengan Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun ini dan Poland memegang jawatan Presiden Majlis EU telah membuka peluang memperkukuh hubungan kedua blok.

“Lawatan Presiden Andrzej Duda ini sangat istimewa kerana beliau kini memegang jawatan Presiden Majlis EU, manakala Malaysia pula merupakan Pengerusi ASEAN.

“Perbincangan kami merangkumi isu dua hala serta perkara-perkara lebih luas yang melibatkan ASEAN dan EU,” katanya pada sidang akhbar bersama Andrzej di Bangunan Perdana Putra di sini tadi.

Katanya, rundingan antara ASEAN dan EU khususnya berkaitan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kini memperoleh semula momentum selepas bertahun-tahun mengalami kemajuan perlahan.

“Rundingan ini mengambil masa yang lama, mungkin disebabkan oleh keutamaan yang berbeza sebelum ini.

“Namun sejak tahun lalu dan lebih-lebih lagi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kita menyaksikan proses yang semakin pantas.

“Saya berasa gembira kerana di bawah kepimpinan EU sekarang, pendekatan yang dipercepatkan ini semakin ketara,” katanya.

Jelasnya, EU termasuk Poland kekal sebagai rakan strategik dan ekonomi yang penting bagi Malaysia dan rantau ASEAN secara keseluruhan.

Sementara itu, Andrzej Duda berkata, antara perkara utama dibincangkan adalah usaha memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan negara-negara Eropah Tengah yang terlibat dalam Inisiatif Tiga Laut (Three Seas Initiative).

“Poland telah memegang jawatan Presiden Majlis EU dan juga Inisiatif Tiga Laut sepanjang separuh tahun lalu.

“Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri mengenai pandangan ASEAN terhadap kerjasama dengan negara-negara dalam inisiatif ini dan turut menyampaikan jemputan kepada beliau untuk menyertai sidang kemuncak akan datang di bawah inisiatif tersebut,” katanya.

Katanya, Inisiatif Tiga Laut hanya melibatkan negara anggota EU namun ia menawarkan potensi sebagai platform baharu untuk memperluas dialog ekonomi dan keterhubungan dengan ASEAN.

“Perbincangan turut merangkumi isu-isu keselamatan global termasuk konflik di Timur Tengah, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan kebimbangan terhadap penglibatan Korea Utara dalam konflik tersebut.

“Poland sejak sekian lama menyokong penyelesaian dua negara di Timur Tengah, satu pendirian yang turut dikongsi oleh majoriti negara EU dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kami juga membincangkan peranan Poland,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |