KLANG – Cintakan karier serta menghargai persahabatan, kumpulan Dolla berjanji akan kekal bersatu meneruskan karier nyanyian sehingga ke hari tua.
Menurut seorang anggotanya, Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli, 30, selagi dapat memberikan idea terbaik dalam bidang seni, mereka setia membawa nama Dolla.
“Umur kami pun semakin meningkat tetapi sebagai kumpulan wanita kami agak berbeza. Kalau penyanyi solo, mereka tetap berkarya dan buat muzik walaupun sudah berusia.
“Untuk saya, asalkan ada idea kreatif yang akan buat kami terus mencipta semakin banyak muzik atau buat persembahan.
“Kami pernah berbincang (hal perancangan masa hadapan). Kami semua mula menapak sebagai Dolla dan idea awal kami akan terus matang dengan kumpulan ini,” katanya semasa Open House Yeos Dolla, baru-baru ini.
Sementara itu, Tabby turut senada dengan kenyataan Sabronzo selain menegaskan tetap kental bersama kumpulan itu walaupun masing-masing ada perancangan tersendiri.
“Saya bersetuju dengan Sab (nama panggilan Sabronzo). Tidak kira berapa pun umur kami, sebenarnya kami sendiri boleh matang dengan Dolla.
“Kami ada minat yang boleh membawa kegembiraan, jadi kami tidak nampak punca tidak boleh teruskan sebagai Dolla dan buat muzik.
“Setiap individu ada perancangan sendiri dan kami hormati keputusan masing-masing. Apa-apa perancangan kami akan sokong,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, pemilik nama lengkap Tabitha Ariel Lam, 25, memaklumkan kumpulannya akan tampil dengan single terbaharu yang bakal dilancarkan pada bulan hadapan.
“Tahun ini sebenarnya boleh katakan tempoh kami melancarkan banyak lagu dan sedang buat persiapan menyiapkan segala-galanya.
“Sekarang kami beri fokus kepada satu lagu ‘comeback’ (kemunculan semula) yang dijangka bakal dilancarkan pada Mei ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE