6 Jilake: Bukan komedi ‘badut’ tertawakan bangsa

6 hours ago 3

FILEM 6 Jilake arahan pengarah prolifik, Aziz M. Osman bukan sekadar karya biasa. 

Karya berkenaan adalah satu percubaan segar yang menyatukan elemen aksi, epik dan komedi secara seimbang, menjadikan naskhah berkenaan antara filem tempatan yang wajar diberi perhatian tahun ini.

Menemui penonton bermula 24 April di pawagam seluruh negara, 6 Jilake membawa penonton menyusuri era penjajahan abad ke-18 di Perak tetapi yang santai dan mudah difahami.

Jujurnya, pada awalnya, penulis menjangkakan filem berkenaan akan menjadi sebuah lagi percubaan ‘komedi sejarah’ yang sekadar hiburan ringan atau slapstick, namun sangkaan tersebut jauh meleset.

BELL NGASRI membawa watak sebagai Kasturi, menantu kepada Tok Lepat dan sering dipandang hina oleh bapa mentuanya.

6 Jilake bukan hanya menghiburkan, malah menyelitkan pelbagai nilai termasuk semangat nasionalisme dan perjuangan mempertahankan bangsa dan tanah air tanpa terlalu memaksa penonton mencari mesej tersurat atau tersirat.

Barisan pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi, Asmidar dan Mamak Puteh pula berjaya membawa karakter masing-masing dengan penuh kesederhanaan tidak ‘over’ atau menjengkelkan.

Komedinya hadir dari situasi dan cerita itu sendiri, bukan dibuat-buat atau seperti slapstick. Seperti yang ditekankan oleh pengarah, tiada watak dibenarkan bertindak seperti aksi badut.

Tribute P. Ramlee

Apa yang menarik, 6 Jilake secara halus memberi penghormatan kepada filem klasik, 6 Jahanam arahan Tan Sri P. Ramlee. Namun, Aziz berjaya memberi sentuhan tersendiri yang lebih moden dan relevan dengan penonton masa kini.

Biarpun latarnya sejarah, filem ini tidak membebankan khalayak dengan dialog atau fakta berat. Sebaliknya, semua menyatu dengan gaya naratif ringan, bersahaja tetapi tetap berisi.

Aziz membuktikan bahawa filem ‘berbudaya’, jika diolah dengan betul, tetap beroleh tempat di hati penonton.

Apa yang menjadikan 6 Jilake lebih ‘hidup’ adalah keberaniannya mengangkat kisah enam pengkhianat yang menyebelahi Belanda, satu sisi sejarah yang jarang diketengahkan dalam filem tempatan.

Mesej tentang perpaduan, pengorbanan dan semangat melawan penjajahan disampaikan tanpa perlu ceramah panjang.

Semua itu menjadikan naskhah berkenaan cukup relevan, terutama buat generasi muda yang mungkin tidak biasa dengan latar sejarah.

Kalau anda peminat filem komedi aksi atau pencinta sejarah tanah air, 6 Jilake adalah gabungan terbaik kedua-dua dunia itu. Ia bukan saja menghiburkan, malah membuatkan kita berfikir tentang erti sebenar perjuangan.

Judul: 6 Jilake Pengarah: Aziz M. Osman Terbitan: Primeworks Studios, Eartistic Entertainment Pelakon: Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi Bintang: ★★★ Tayangan:  24 April 2025
Read Entire Article
Pertanian | | | |