TH sedia terima 284 jemaah haji KT01

6 hours ago 6

MADINAH – Tabung Haji (TH) bersedia menerima kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia yang dijangka tiba melalui penerbangan KT01 di sini pada 29 April ini.

Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi TH Madinah, Affandi Abdullah berkata, barisan para petugas haji TH telah bersiap sedia untuk menyambut dhuyufurrahman kumpulan pertama dari Kuala Lumpur yang dijangka tiba kira-kira pukul 7.50 pagi waktu tempatan.

“Dari segi persiapan alhamdulillah juga walaupun di saat akhir menerima petugas dari tanah air dua hari lalu walaupun macam-macam rintangan yang kita hadapi.

“Bagi sektor Madinah ini jumlah petugas kira-kira 70 orang dan kita masih menunggu kedatangan petugas kesihatan. Kesemua jemaah haji ini akan kita tempatkan di tiga buah hotel iaitu Anwar al Madinah Movenpick, Saja al Madinah dan Emaar Royal, di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, 284 jemaah KT01 akan disambut secara meriah dan besar-besaran seperti sebelum ini oleh pihak pengurusan hotel di Hotel Emaar Royal.

Jelas beliau, jemaah-jemaah ini dijangka berada selama enam hari lima malam di Madinah dan sepanjang berada di siji mereka akan dibawa untuk program ziarah dalam dan luar.

“Selain program yang diatur tersebut selama lima hari mereka di sini, para jemaah juga akan diberi kelas atau pun ulangkaji sebelum mereka akan bergerak ke Mekah pada hari ketujuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, pada hari sama juga akan tiba dua lagi penerbangan lain yang masing-masing akan ditempatkan di dua buah hotel lain.

“Bagi fasa 1 ketibaan jemaah haji (di Tanah Suci) kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan 31,600 jemaah Malaysia yang akan masuk menginap di Madinah terlebih dahulu.

“Selebihnya pada fasa 2 selepas wukuf para jemaah dari Mekah akan memasuki Madinah,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai persediaan TH menyambut KT01, Affandi berkata, pihaknya turut menyediakan kemudahan seperti petugas perubatan, kewangan dan kaunseling bagi memastikan para jemaah berada dalam keadaan terbaik untuk beribadah.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |