Pembantu rumah ‘kantoi’ buat pinjaman lebih RM10,000 letak majikan sebagai penjamin

7 hours ago 6

PETALING JAYA – Pembantu rumah warga asing bertindak berani apabila meminjam wang melebihi RM10,000 daripada along dengan meletakkan maklumat majikan sebagai penjamin tanpa keizinan.

Lebih membimbangkan, majikan serta keluarga diganggu serta terdedah kepada risiko keselamatan apabila gambar serta maklumat peribadi diberikan kepada along.

Mendedahkan perkara tersebut, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada majikan berkenaan isu tersebut sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, kes terkini melibatkan seorang pembantu rumah warga asing warga Filipina membuat pinjaman melebihi RM10,000 secara rahsia daripada tiga kumpulan along tanpa pengetahuan majikannya.

“Oleh kerana gagal membayar hutang, pemberi pinjaman mula mengganggu majikan dan keluarganya secara berterusan, menyebabkan tekanan yang besar.

“Menurut majikan, pembantu rumah berkenaan yang telah berkhidmat selama 10 tahun itu disifatkan sangat rajin dan berkelakuan baik, dan majikan sama sekali tidak menyangka dia akan terlibat dalam masalah pinjaman seperti ini,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan lagi, Chong berkata, disebabkan along tidak dapat menghubungi pembantu rumah tersebut, mereka menggunakan taktik penghantaran makanan Grab secara urus niaga hantaran tunai (COD) ke rumah majikan.

“Tindakan tersebut dilakukan dengan tujuan membolehkan ‘rider’ menyerahkan telefon kepada pembantu rumah untuk berhubung dengannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Chong berkata, disebabkan pembantu rumah asing tidak layak membuat pinjaman secara sah di Malaysia, maka pemberi pinjaman haram sering meminta maklumat peribadi majikan sebagai jaminan pinjaman.

Ujarnya, tindakan ini bukan sahaja melanggar privasi majikan, malah turut membawa ancaman keselamatan.

Malah Chong berkata, sesetengah pembantu rumah malah memberikan maklumat peribadi ahli keluarga majikan kepada sindiket pinjaman haram sebelum meninggalkan negara selepas tamat kontrak.

“Ia menyebabkan majikan secara tidak sedar menjadi mangsa berpotensi. Kini, majikan yang terlibat telah membuat laporan polis dan kes dirujuk kepada kedutaan negara terbabit untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, Chong mengingatkan majikan agar lebih berhati-hati ketika menggaji dan menguruskan pembantu rumah asing, bagi mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang.

Beliau turut mendedahkan bahawa kes pembantu rumah asing membuat pinjaman secara rahsia dan melibatkan majikan bukanlah kali pertama berlaku malah aduan sebegini pernah diterima pihaknya sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |