PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) menyelar kenyataan pengulas konservatif AS, Bill O’Reilly, yang mengundang kontroversi selepas mengkritik Malaysia sebagai negara miskin.
Menerusi satu hantaran di TikTok oleh pemilik akaun @ugoeverywhere, lelaki berkenaan yang berasal dari AS meminta rakyat tempatan agar tidak mengambil serius isu yang dibangkitkan oleh pengacara berusia 75 tahun itu.
“Mesej saya kepada rakyat Malaysia, abaikan sahaja Bill O’Reilly. Beliau tidak tahu apa-apa tentang negara Asia Tenggara, terutamanya Malaysia. Saya sendiri tidak sedar tentang isu ini sehingga ada dalam kalangan anda yang menyebut saya,” katanya dalam kapsyen hantaran berkenaan.
Rakaman video itu memaparkan lelaki tersebut berada di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menunjukkan pemandangan pencakar langit sambil mempersoalkan dakwaan O’Reilly.
“Kepada pengikut saya di AS, saya ingin tunjukkan taman di luar KLCC yang dikelilingi bangunan tinggi. Inikah yang dimaksudkan dengan ‘tiada wang’?,” soalnya.
Tinjauan dari ruangan komen, ramai yang bersetuju dan menyokong pemilik akaun tersebut.
“Dari sudut positif, mungkin dia sedang berkempen untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” komen @Elle.
“Terima kasih banyak. Harap dia (Bill O’Reilly) buat kajian dulu sebelum bercakap,” komen @MitthiQ&Dvans.
“Saya rakyat Malaysia dan walaupun suami saya orang Amerika, dia hanya ketawa,” kongsi @gdee.
Terdahulu, O’Reilly mendakwa rakyat Malaysia tidak cukup makan dan tidak relevan sebagai rakan dagang kepada China, semasa mengulas lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja. – KOSMO! ONLINE
@ugoeverywhere My message to Malaysians is ignore US Fox News commemtator, Bill O’Reilly. He knows clearly nothing of SEA and especially of Malaysia. I had not seen that news until some of you pointed that out in another of my post. #malaysia #kualalumpur #billoreilly #stupid #stupidity #malaysianshavemoney #xijinping #tariffs #us ♬ original sound – ugo everywhere