MPL Malaysia: Remaja 16 tahun tebus maruah Vamos

8 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Pasukan Vamos mempamerkan kebangkitan meyakinkan pada minggu kedua Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia musim ke-15 apabila mencatat kemenangan bersih 2-0 ke atas Ocean Black dalam aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Kemenangan itu menjadi penawar kepada kekalahan mereka minggu lalu di tangan juara bertahan, Selangor Red Giants (SRG.OG) yang menyaksikan Vamos tewas 0-2.

Bagi perlawanan pertama, Vamos yang menurunkan Kenneth Sablande Barro (Netspresko), Mohamad Zul Hisham Mohd. Noor (Xorn), Adriansyah Baihaqi Lesmana (Clawkun), Aeliff Adam Md Arif (Smooth), dan pendatang baharu, Danish Tahqif Abdullah (ERROR 404) mencatat kemenangan 12-6 ke atas Ocean Black dalam masa 11 minit.

Aksi konsisten diteruskan Vamos dalam perlawanan kedua apabila pasukan bimbingan jurulatih Myanmar, Zaya Win Paing itu tampil lebih agresif dan menundukkan lawan mereka 18-7 dalam tempoh hampir 15 minit.

KEMENANGAN mudah Team Vamos selepas menewaskan Ocean Black menerusi keputusan 2-0.

Danish Tahqif yang baru berusia 16 tahun mencuri tumpuan apabila melakukan enam ‘kill’ pada aksi kedua untuk dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP), sekali gus mencatat debut cemerlang dalam penampilan pertamanya.

Menurut Aeliff Adam, kekalahan minggu lalu dijadikan pengajaran untuk tampil lebih kemas dan berdisiplin dalam perlawanan kali ini.

“Kami perbaiki segala kelemahan selepas kekalahan pada minggu pertama. Bagi saya, lebih baik tewas sekarang berbanding sewaktu playoff. Momentum ini perlu diteruskan pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Danish Tahqif menyifatkan kejayaan hari ini sebagai permulaan yang baik untuk karier kompetitifnya.

“Saya hanya fikir nak’ bantai’ pasukan lawan (Ocean Black). Terima kasih kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada saya dan pasukan Vamos,” katanya.

Kemenangan tersebut menyaksikan Vamos membawa pulang  mata penuh dan kini dalam misi untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |