Top 5 filem terlaris Malaysia milik ‘keluarga Yusof’

7 hours ago 5

KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?”

Itu peribahasa yang paling tepat untuk menggambarkan tentang anak-anak pengarah dan penerbit tersohor negara, Datuk Yusof Haslam. 

Jika pada tahun 1990-an bapa mereka pernah mendominasi panggung wayang Malaya dengan filem-filem pecah panggung seperti Sembilu, Maria Mariana dan Pasrah, kini giliran dua anak lelaki Yusof pula mengambil takhta tersebut 

Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof dua nama yang bukan calang-calang dalam dunia pengarahan filem. 

Kedua-dua mereka ibarat bersaing sesama sendiri, filem arahan siapa yang mengutip kutipan paling tinggi. 

Yang pastinya kedua-dua mereka telah pun membuat si bapa bangga kerana dapat melahirkan legasi hebat dalam dunia pengarahan dan penerbitan filem 

Gala minggu ini menyenaraikan lima filem tempatan dengan jumlah kutipan tiket paling tinggi dalam sejarah dan kesemuanya dimonopoli anak-anak Yusof. 

  • Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan (2022)

Filem arahan Syamsul Yusof ini masih memegang takhta sebagai filem tempatan yang paling tinggi jumlah kutipan dalam sejarah iaitu sebanyak RM97.42 juta. 

Ditayangkan ketika pasca pandemik menjadikan, Mat Kilau antara naskhah yang ditunggu-tunggu peminat filem tempatan. 

Dibarisi pelakon handalan seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy dan Fattah Amin, filem dengan latar epik tersebut diterima ramai dek semangat bangsa dan diinspirasikan daripada kisah pahlawan ulung, Mat Kilau. 

  • Sheriff: Narko Integriti (2024)

Di tangga kedua pula filem arahan dan tulisan Syafiq Yusof, Sheriff: Narko Integriti yang berjaya memecah stereotaip tentang kehidupan anggota dan pegawai polis di Malaysia dan mengaut kutipan tiket RM63.2 juta. 

Keberanian Syafiq membuka sisi gelap badan beruniform itu membuatkan penonton berpusu-pusu ke pawagam untuk melihat pembaharuan yang dilakukan dalam mengubah landskap penceritaan filem Malaysia. 

Kerjasama dengan Astro Shaw yang bertindak sebagai pengedar dan penerbit juga membuka ruang yang lebih luas untuk filem berkenaan mencapai status ‘box office’. Tidak dilupakan barisan pelakon yang mempunyai nilai komersial yang tinggi seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Azira Syafinaz dan Elizabeth Tan.

  • Munafik 2 (2018)

Filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof ini pernah memegang takhta sebagai filem dengan kutipan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM48 juta sebelum dipintas oleh filem arahan Syamsul sendiri. 

Boleh dikatakan Syamsul adalah raja filem seram tempatan kerana dia tahu apa yang penonton di Malaysia mahukan. 

Untuk filem sekuel ini, Syamsul memilih ratu filem seram Malaya, Maya Karin sebagai pelakon utama di samping Nasir Bilal Khan yang berperan sebagai antagonis.

  • Blood Brothers: Bara Naga (2025) 

Masih mengganas di pawagam, filem terbaharu arahan Syafiq Yusof bersama Abilash Chandra sudah pun berjaya membolosi carta lima teratas kutipan paling laris sepanjang zaman. 

Blood Brothers: Bara Naga setakat ini telah berjaya mengumpul jualan tiket sebanyak RM50 juta dalam masa hanya 14 hari, sekali gus kini berada di tangga keempat filem terlaris Malaysia sepanjang zaman.  

Filem lakonan Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahya dan Amelia Henderson itu juga dijangka bakal melakar sejarah baharu apabila selesai tayangan nanti. 

Mampukah Blood Brothers: Bara Naga mendaki anak tangga tiga teratas? Sama-sama kita nantikan.

  • Polis Evo 3 (2023)

Syafiq Yusof berjaya mengangkat francais filem Polis Evo ke aras yang lebih tinggi apabila mengaut jumlah kutipan sebanyak RM54.1 juta sekaligus meletakkan filem ini sebagai filem tempatan ketiga yang mendapat kutipan tertinggi. 

Selain gandingan duo hebat Zizan Razak dan Shaheizy Sam, watak antagonis yang digalas Sharnaaz Ahmad menambah perisa kepada jalan cerita filem ini. 

Polis Evo 3 kelihatan lebih segar dan lebih ganas di tangan Syafiq yang bijak bermain dengan elemen aksi dan nilai komersial.

Read Entire Article
Pertanian | | | |