Operasi stesen LRT dilanjutkan sempena Piala Malaysia, konsert Amy Search

7 hours ago 6

PETALING JAYA – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengumumkan lanjutan operasi Stesen LRT Bukit Jalil sehingga pukul 12.30 tengah malam (Isnin) sempena Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia dan konsert solo Amy Search, hari ini.

Stadium Nasional Bukit Jalil akan dipenuhi peminat bola sepak yang ingin menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada pukul 9 malam.

Manakala Axiata Arena yang terletak berdekatan stadium berkenaan pula akan berlangsungnya konsert penyanyi genre Rock terkenal, Amy Search yang akan bermula 8.30 malam.

Dalam kenyataan hari ini, Rapid KL memaklumkan langkah tersebut diambil bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang yang hadir ke kedua-dua acara besar berkenaan.

“Penumpang digalakkan menggunakan kad Touch ‘n Go dan memastikan baki kad mencukupi untuk melancarkan perjalanan,” katanya.

Selain Stesen Bukit Jalil, beberapa stesen sambungan lain turut dilanjutkan operasi bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Antara laluan yang terlibat ialah Laluan Kelana Jaya membabitkan Stesen Masjid Jamek, Pasar Seni dan Putra Heights.

Di Laluan Ampang/Sri Petaling pula, stesen yang terlibat adalah Plaza Rakyat, Masjid Jamek, Putra Heights, Hang Tuah, Titiwangsa, Maluri, Sungai Besi dan Chan Sow Lin.

Sementara itu, Laluan Monorel melibatkan Stesen Hang Tuah dan Titiwangsa, manakala Laluan Kajang melibatkan Stesen Pasar Seni, Maluri, Merdeka, Kwasa Damansara dan Tun Razak Exchange.

Laluan Putrajaya pula membabitkan Stesen Kwasa Damansara, Sungai Besi, Chan Sow Lin, Titiwangsa dan Tun Razak Exchange.

Rapid KL turut menasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan petugas di stesen bagi mengelakkan kesesakan.

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh mengunjungi laman web rasmi www.myrapid.com.my atau mengikuti kemas kini di platform media sosial Rapid KL. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |