Piala Dunia Kelab: Seattle teruja hadapi gergasi Eropah

1 day ago 7

MESKIPUN dianggap antara pasukan paling kerdil dalam Kumpulan B pada saingan Piala Dunia Kelab (CWC) 2025, namun kemampuan pasukan Liga Bola Sepak Utama Amerika Syarikat (MLS), Seattle Sounders tidak boleh dipandang remeh.

Berada di bawah bimbingan Brian Schmetzer, skuad yang terkenal dengan julukan The Rave Green itu mempamerkan corak permainan berintensiti tinggi selain agresif ketika melancarkan serangan.

Justeru, pasukan-pasukan lain seperti dua gergasi Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) dan Atletico Madrid serta Botafogo dari Brazil perlu berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan Seattle.

Pemain tengah pasukan itu, Cristian Roldan melaungkan keyakinan dia dan rakan sepasukan tidak akan memberikan laluan mudah buat tiga pasukan pencabar selain menyuarakan keinginan bertemu PSG dan Atletico.

“Impian saya sejak kecil adalah untuk beraksi menentang pasukan-pasukan terbaik di dunia dan sekarang kami memiliki peluang tersebut menjelang Piala Dunia Kelab nanti. Saya percaya ia akan menjadi pengalaman berharga buat kami.

“Sebagai pemain, siapa yang tidak mahu menguji kemampuan berdepan pasukan-pasukan gergasi Eropah. PSG dan Atletico memiliki corak permainan yang cukup baik, jadi ia akan memberi kepuasan kepada kami,” katanya.

Selain itu, faktor beraksi di laman sendiri pastinya turut memberi kelebihan kepada Seattle memandangkan mereka bakal menerima sokongan padu daripada penyokong-penyokong yang akan membanjiri stadium nanti.

Mungkin kehadiran Seattle pada edisi kali ini hanya dianggap sebagai pelengkap jadual, namun sekurang-kurangnya mereka mampu memperagakan corak permainan sendiri untuk ditonton peminat bola sepak seluruh dunia.

Tambah Roldan, dia dan rakan sepasukan akan memberikan segala-galanya bagi memastikan mereka sekurang-kurangnya mencatat satu kemenangan kerana sedar Seattle belum mampu untuk meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.

“Buat masa ini, sasaran kami adalah untuk cuba memenangi perlawanan kerana semua orang tahu bukan mudah mahu mengalahkan PSG, Atletico dan Botafogo. Bagaimanapun, kami ada kelebihan beraksi di laman sendiri,” ujarnya.

KUMPULAN B

SEATTLE SOUNDERS

Negara: Amerika Syarikat (MLS)

Nama gelaran: The Rave Green

Jurulatih: Brian Schmetzer

Kapten: Stefan Frei

Pemain tumpuan: Jesus Ferreira

Read Entire Article
Pertanian | | | |