Piala Dunia Kelab: ‘Pele Colombia’ senjata Fluminense

1 day ago 5

FLUMINENSE FC meletakkan harapan tinggi terhadap bintang berbisa Colombia, Jhon Arias menjelang kempen mereka di Piala Dunia Kelab 2025.

Pemain berusia 27 tahun itu dijangka memainkan peranan penting sama ada di posisi tengah mahupun sayap selepas penyerang, German Cano mengalami kecederaan dan kini masih dalam proses pemulihan untuk kembali cergas.

Dalam kalangan penyokong setia Tricolor, Arias bukan sekadar pemain biasa, malah dianggap sebagai penggempur paling terbaik sehinggakan yang digelar ‘Pele dari Colombia’.

Bagaimanapun, Arias enggan terus dibuai dengan pujian, sebaliknya hanya mahu memberikan yang terbaik buat pasukan.

“Pele merupakan pemain terhebat sepanjang zaman. Itu terlalu keterlaluan meletakkan saya sentanding dengan legenda bola sepak dunia itu. Tiada siapa boleh menandingi beliau.

“Sebagai rakyat Colombia, saya tahu betapa tingginya penghormatan kami terhadap Pele, bukan sahaja di negara saya malah di seluruh dunia,” katanya.

Meskipun merendah diri, statistik Arias pada musim 2025 menceritakan kisah berbeza kerana setakat ini, dia telah mencetak 10 bantuan gol sekali gus melonjak ke tempat kedua senarai assist terbanyak Fluminense.

Kini, dia bakal mengharungi cabaran baharu bersama Fluminense di pentas dunia apabila mereka diundi dalam Kumpulan F menentang Borussia Dortmund, Mamelodi Sundowns FC dan Ulsan HD.

Arias memainkan peranan penting ketika Fluminense menjuarai Copa Libertadores 2023, termasuk memberikan bantuan gol kepada jaringan pembukaan Cano dalam perlawanan akhir menentang Boca Juniors yang berkesudahan kemenangan 2-1.

Sementara itu, ketua jurulatih Fluminense, Renato Gaucho meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Arias dan yakin pasukannya mampu melakukan kejutan biarpun diundi bersama pasukan terbaik dunia.

“Arias antara pemain yang mampu mengubah rentak permainan. Dia telah mempamerkan aksi terbaik sebelum ini dan saya harap dia mampu mencipta magis bersama pasukan ini sekali lagi,” ujarnya.

INFO

KUMPULAN F

FLUMINENSE FC
Negara: Brazil
Nama Gelaran: Tricolor
Jurulatih: Renato Gaucho
Kapten: Thiago Silva
Tiket Kelayakan: Juara Copa Libertadores 2023

Read Entire Article
Pertanian | | | |