HIDUP ini penuh dengan pilihan, namun tidak semua sanggup melepaskan kesenangan demi sesuatu yang lebih besar dan bermakna.
Dalam semangat Aidiladha yang menghayati erti pengorbanan sebenar, kisah lima selebriti tanah air ini wajar dijadikan renungan. Bukan dek mengejar populariti, tetapi kerana hati mereka yang rela berkorban demi agama, keluarga dan tanggungjawab.
Keputusan mereka tidak sekadar memberi impak terhadap haluan kerjaya, tetapi sebuah pengorbanan yang menuntut kekuatan dan ketakwaan hati kepada Tuhan.
Gala minggu ini menampilkan lima figura seni yang menjadikan pengorbanan sebagai nadi kehidupan, demi cinta Tuhan, ibu bapa, anak-anak dan masa depan keluarga tercinta.
Neelofa
Ketika nama sedang mencanak di puncak kejayaan, Neelofa mengejutkan industri hiburan dengan keputusan berhijrah, malah memakai niqab.
Dalam dunia glamor yang terlalu menyanjung kecantikan wanita, pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd. Noor itu berkorban melepaskan segalanya demi mengejar reda Allah.
“Semua wanita mahu kelihatan cantik. Saya sendiri, sewaktu mula berniat untuk berniqab, tidak pernah terbayang mampu menutup wajah, tapi selepas tahu ganjaran daripada Allah, saya korbankan kecantikan dunia ini,” katanya.
Keputusan isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail bukan calang-calang. Tawaran antarabangsa, kerjaya sebagai hos dan model duta produk terpaksa dilepaskan.
Namun, semua itu dibuat tanpa sesal. Pengorbanannya bukan sahaja mengubah arah hidup sendiri, malah memberi inspirasi buat ramai wanita untuk mengejar kecantikan yang sebenar , bukan pada wajah, tetapi pada iman.
Hakikatnya dengan imej baru, bekas pengacara MeleTOP itu menutup fasa hidup lalu yang dibina dengan susah payah demi membuka lembaran baru sebagai wanita berprinsip, menjadikan akhirat sebagai destinasi sebenar.
Elfira Loy
KETIKA rakan sebaya sedang leka bermain dan menjalani kehidupan normal, Elfira Loy sudah sibuk di set penggambaran. Bukan kerana minat, tetapi demi membantu ibu menyara keluarga.
“Saya tak suka berlakon, tapi bila dapat bayaran pertama buat teater, saya sedar kerja ini boleh bantu ibu. Saya pendam perasaan dan berpura-pura suka kerana ibu hanya ada saya,” katanya.
Sebagai anak sulung yang menyaksikan perceraian ibu bapa, wanita berusia 31 tahun itu belajar berdikari dalam usia terlalu muda demi adik-adik.
“Saya kena kuat. Saya tak pernah cerita kepada orang tentang kesedihan itu. Saya kena berkorban dari segi emosi dan masa kecil saya,” luahnya.
Diam adalah bentuk pengorbanan buat Elfira. Namun, dalam diam itulah, terbina seorang wanita cekal yang menjadi tonggak keluarganya sejak usia muda dan hikmahnya, dia kini bahagia di samping suami dan anak-anak.
Eja
PELAKON Eja Saifuddin memilih untuk mengundur diri ketika di puncak karier, memiliki keluarga dan seorang anak perempuan. Secara peribadinya. keputusan itu hampir membuatkan dirinya hilang kewarasan.
Dia hampir gila dan tidak tenteram sewaktu mula-mula berhenti berlakon. Kehadiran Nur Eishal membulatkan hati Eja menyerahkan seluruh masanya untuk keluarga.
Selepas lebih dua dekad dalam dunia seni, pelakon Salam Taj Mahal itu akhirnya temui ketenangan yang sebenar, bukan di pentas glamor, tetapi di sisi anak tersayang kini berusia 15 tahun.
Azhan Rani
Tidak ramai lelaki sanggup mengetepikan soal jodoh, apatah lagi pada usia hampir mencecah 50 tahun. Namun, bagi pelakon Azhan Rani, ibu adalah keutamaan mutlak dalam hidupnya.
“Emak saya semakin uzur. Berat badannya hanya 29 kilogram. Melihat keadaannya, memang berat hati untuk keluar bekerja, tapi saya perlu cari rezeki untuk kelangsungan hidup kami,” ujarnya.
Sebagai anak yang belum berkeluarga, pemilik nama sebenar Azhan Abdul Rani itu sanggup memikul tanggungjawab menjaga ibunya sepenuh masa, meskipun semua itu menuntut pengorbanan dari segi masa, perasaan dan juga kehendak peribadi.
Setiap kali melangkah keluar mencari rezeki, dia mengakui hatinya tertinggal di rumah. Bimbang dan rawan.
Zarina Zainuddin
Dalam hidup Zarina Zainuddin, istilah ‘penat’ dan ‘putus asa’ sudah terlalu akrab. Setiap hari adalah perjuangan. Setiap nafas, satu pengorbanan buat dua anak kembarnya yang menghidap autisme.
“Saya pernah minta Allah ambil nyawa saya dan anak-anak sekali. Waktu itu saya tak kuat, tapi saya cepat sedar, saya tak boleh kalah,” katanya dalam tangisan tertahan.
Zarina tak pernah melihat pengorbanannya sebagai beban. Baginya, menjaga anak istimewa satu tiket menuju syurga. Setiap titis air mata, setiap luka di hati, semuanya dibayar dengan pahala yang tak terhitung.
Hari-harinya penuh dugaan, tetapi senyuman anak-anak menjadikan segala penderitaan berbaloi. Zarina menjadi lambang wanita cekal yang menjadikan kasih sayang sebagai tunggak ketabahan.