Penggemar ikan, sotong mentah berisiko dapat jangkitan cacing anisaki

17 hours ago 7

PETALING JAYA – Seseorang individu berpotensi untuk mendapat jangkitan anisakiosis jika mengambil hidangan yang mengandungi ikan atau sotong mentah.

Pakar Genetik Ikan dan Sains Pembiakan, Dr. Fitri Yusof berkata, anisakiosis adalah jangkitan cacing yang dipanggil sebagai anisaki terkandung di dalam perut ikan dan sotong mentah.

Menurutnya, kitaran hidup cacing ini sifatnya sering berpindah-randah daripada sotong kepada ikan dan seterusnya pemangsa.

“Cacing anisaki ini juga ada dalam mamalia laut macam anjing laut atau dolfin. Sebab itulah sebelum ni kita tengok ada je tular video dalam ikan sardin pun ada cacing.

“Kitaran hidup cacing ni akan berpindah randah, daripada sotong pergi ke ikan, kemudian pemangsa yang makan sotong tu seterusnya dia akan masuk balik ke dalam ikan yang lebih besar,” jelasnya dalam satu video yang dimuat naik di akaun X.

Jelasnya, walaupun jarang sekali ada kes jangkitan anisakiosis boleh menyebabkan maut tapi kes ini sememangnya wujud lebih-lebih lagi buat penggemar makanan jepun, sashimi.

Sementara itu, Fitri juga berkongsikan cara untuk membunuh cacing itu dengan memasak ikan dan sotong dengan sebaiknya.

“Paling-paling masak sampai 60 darjah celcius. Tapi seeloknya masaklah sampai 100 darjah celcius.

“Cara kedua adalah sejuk bekukan, tapi sejuk beku ni tak berapa berjaya sangat sebab dia kena lama. Perlukan enam ke tujuh hari untuk cacing mati. Cacing ni sifatnya tahan lasak sebab tu digalakkan masak dahulu dan cuci bersih ikan yang kita dapat,” katanya.

Sebelum ini seorang lelaki menarik perhatian ramai apabila berkongsi mengenai cara untuk membuang cacing di dalam perut sotong.

Menerusi hantaran di platform TikTok milik @Sotongberkrimer, lelaki itu memberitahu cacing akan berada di bahagian tengah badan sotong, bukannya bawah.

Selepas tulang sotong dibuang, lelaki tersebut kemudian menarik keluar gumpalan putih dipenuhi cacing yang masih hidup dan bergerak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |