Penat bukan punca utama balik awal

19 hours ago 8

BIARPUN berdepan keletihan selepas menempuh tiga final berturut-turut, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan menjadikan jadual padat sebagai alasan utama kegagalan mereka tumbang seawal pusingan pertama di Terbuka Indonesia kelmarin.

Beregu lelaki No. 3 dunia itu telah memberikan segala-galanya pada kejohanan berstatus Super 1000 tersebut, namun rezeki tidak memihak kepada mereka selepas tewas kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Dalam perlawanan cukup mendebarkan itu, Aaron-Wooi Yik memberi tekanan kepada bintang Denmark tersebut sebelum tumpas 13-21, 21-19, 18-21 dalam perlawanan hampir sejam.

Kekalahan tersebut pasti mengecewakan memandangkan mereka sebelum ini memenangi dua daripada tiga kejohanan terakhir iaitu Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.

Aaron mengakui dia dan Wooi Yik telah berjuang sehabis mungkin, namun kemenangan bukan milik mereka kali ini.

“Saya rasa kami dah berikan yang terbaik. Cuma bukan rezeki kami kali ini,” katanya.

Wooi Yik pula secara terbuka mengakui keadaan fizikal mereka bukanlah pada tahap paling optimum selepas menempuh tiga final berturut-turut, bermula Terbuka Thailand diikuti Masters Malaysia dan Terbuka Singapura.

“Ya, sejujurnya keadaan tidak begitu baik untuk kami tetapi kami masih cuba secara mental. Kami tidak kata seperti menyerah atau apa-apa. Kami hanya cuba mengejar setiap mata.

“Kami tidak boleh nafikan hari ini mereka bermain lebih baik daripada kami secara fizikal dan sangat segar berbanding kami,” tambahnya.

Mengulas pencapaian musim ini yang menyaksikan mereka konsisten ke pentas akhir, Aaron kekal positif dan percaya kekalahan itu akan dijadikan iktibar untuk memperbaiki diri.

“Kami dapat tiga mata pendahuluan sebelum rehat, tapi mereka berjaya kejar semula. Itu antara detik yang menentukan.

“Kami akan ambil masa untuk berehat, kembali berlatih dan bersedia untuk cabaran seterusnya. Masih banyak ruang untuk ditambah baik,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |