MELAKA – Seorang remaja dari Kuantan, Pahang sanggup menempuh perjalanan sejauh 273 kilometer ke Melaka semata-mata untuk menyertai gotong-royong ibadah korban di Taman Seri Pandan, Lorong Pandan di sini, hari ini.
Muhammad Ilham Alman Mohd. Fadil, 19, berkata, dia menaiki bas pada malam tadi dan tiba di Terminal Melaka Sentral sekitar pukul 2 pagi sebelum terus ke lokasi program korban.
“Saya teruja kerana ini kali pertama saya sertai gotong-royong korban, biasanya golongan dewasa atau warga emas sahaja yang ambil bahagian.
“Kali ini, bila tahu rakan-rakan kolej sertai, saya ambil peluang datang awal pagi. Lagi pun di kampung, dah ramai sukarelawan jadi agak sukar nak libatkan diri,” katanya ketika ditemui di Program Melaka Qorban House anjuran Koperasi Surau Al-Hikmah Melaka Berhad di Taman Seri Pandan, Lorong Pandan di sini, hari ini.
Pelajar Diploma Halal Industri (DHI) dari Kolej Profesional Mara Bandar Melaka itu antara hampir 200 sukarelawan yang menyertai program terbabit.
Bagi Muhammad Zarief Safwan Zainol Bahari, 19, gotong-royong seperti ini membuka ruang kepada golongan belia menimba pengalaman secara langsung dalam aspek keagamaan, kemasyarakatan dan kepimpinan.
“Dulu saya sekadar bantu bungkus daging, tapi bila dah selalu ikut pak cik, saya belajar melapah dan potong daging pula, pengalaman yang sangat berharga,” ujarnya.
Muhammad Nur Iman Nor Hisham pula berkata, penglibatan dalam program korban itu ibarat latihan praktikal untuk pelajar jurusan DHI yang sememangnya berkait dengan proses penyembelihan halal.
“Kami belajar teori dalam kelas, tapi kat sini kami praktik terus dengan tunjuk ajar daripada orang berpengalaman,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Hikmah, Mohd Khairul Zaki Misbah memaklumkan sebanyak 33 ekor haiwan ternakan dikorbankan dalam program tersebut dan diagihkan kepada lebih 3,000 penerima asnaf seluruh negeri.
Menurutnya, pendekatan melibatkan belia dan kanak-kanak sejak empat tahun lalu kini menampakkan hasil apabila ramai dalam kalangan mereka semakin mahir menguruskan ibadah korban.