Nahas UPSI: Lesen PSV pemandu bas digantung serta-merta

8 hours ago 4

PUTRAJAYA- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak menggantung serta-merta lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu diambil mengikut peruntukan Seksyen 56(4), Akta Pengangkutan Jalan 1987 susulan siasatan yang sedang dijalankan.

“JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan terlibat termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan.

“Sebagai langkah proaktif demi menjaga kepentingan awam dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, penggantungan lesen ini akan kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, JPJ menegaskan komitmennya untuk terus mengutamakan keselamatan jalan
raya dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang.

Dalam kejadian 9 Jun lalu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju UPSI sebelum melanggar Perodua Alza di KM53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.

Kejadian itu menyebabkan 13 mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Susulan itu, pemandu bas terbabit, Mohd. Amirul Fadhil Zulkifle, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar.

Bagaimanapun, pemandu bas itu mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa atas satu lagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, manakala lesen memandu digantung minimum lima tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |