BESUT – Jenazah Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22, yang merupakan salah seorang korban nahas bas persiaran membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selamat tiba di kampung halamannya di Kampung Amer di sini sebentar tadi.
Van membawa jenazah Allahyarham tiba di pekarangan Masjid al-Mukhlisin Kampung Amer di sini pada pukul 10.30 malam.
Jenazah Wan Nur Suhaila kemudiannya disolatkan di masjid terbabit pada pukul 11.13 malam sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer.
Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Gerik, Perak setelah urusan bedah siasat selesai pada pukul 6 petang. – KOSMO! ONLINE