KLANG – Sebuah bot laju hanya sempat dipandu uji sejauh 800 meter sebelum terbalik dan mengorbankan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak di perairan Tanjung Harapan di sini semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot tersebut dipandu uji dari Royal Selangor Yacht Club, Kawasan 14, Pelabuhan Klang sebelum terbalik di kira-kira 0.3 batu nautika barat Tanjung Harapan.
Katanya, bot berkenaan merupakan milik salah seorang mangsa yang terlibat dalam kejadian.
“Berdasarkan maklumat awal, bot milik mangsa ini rosak dan setelah dibaiki, mangsa memandu uji bot ini dengan membawa bersama keluarga dan rakan.
“Semakan mendapati mangsa yang belum ditemui ini dipercayai sedang menguji pandu bot itu dari Royal Selangor Yacht Club, Kawasan 14, Pelabuhan Klang,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksais Maritim Selangor, Leftenan Maritim Mohd Syafiq Sazali berkata, usaha menaikkan keseluruhan struktur bot kini berada di fasa kedua melibatkan bahagian hadapan yang lebih mencabar.
“Buat masa ini, bahagian bekalan bot telah berjaya dinaikkan menggunakan peralatan kren.
“Kami sedang menunggu penyelam untuk memasang tali di bahagian haluan bawah sebelum sambungan dilakukan ke permukaan kren bagi menarik bahagian depan pula,” katanya ketika ditemui Pangkalan Hadapan Carilamat di Pejabat Maritim Negeri Selangor.
Tambahnya, proses tersebut rumit memandangkan pemasangan tali di bawah bot memerlukan kepakaran penyelam serta mengambil kira keadaan arus dan jarak penglihatan di dasar laut.
“Keadaan paras air yang sedang pasang sedikit sebanyak membantu operasi kerana bot masih mempunyai daya apungan. Ini memudahkan pemasangan tali berbanding waktu air surut di mana bot akan lebih melekat pada dasar,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan insiden bot terbalik mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki iaitu Darren Gan, 3 tahun selain Cheu Son Hin, 50 dan Fong Yong Sen, 29.
Ibu bapa kepada Darren iaitu Gan Hon Tat, 32 dan Careen Man, 29 masih dilaporkan hilang manakala seorang pekerja bot tersebut, Chang Yan Qin Alvin, 17 tahun, terselamat. – KOSMO! ONLINE