Muhyiddin dibenar pindah tujuh kes ke Mahkamah Tinggi

8 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memindahkan tujuh kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati Muhyiddin selaku pemohon memenuhi ambang peruntukan Seksyen 417 (1)(b) Kanun Acara Jenayah (KAJ) bagi membolehkan kes beliau dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Saya sudah mendengar permohonan pemohon dan membaca afidavit yang difailkan pemohon serta responden. Saya juga sudah menimbangkan hujahan pemohon dan responden,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah telah selesai mendengar hujahan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang bertindak pihak pendakwaan.

Hakim Muhammad Jamil kemudian menetapkan pada 14 Julai ini bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi berasingan.

Sementara itu, Wan Shaharudin memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi, dengan alasan ia membabitkan persoalan dan isu undang-undang yang boleh menimbulkan kesulitan luar biasa di sisi undang-undang.

Sehubungan itu, beliau memohon perbicaraan berkenaan dijalankan di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman dan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkepentingan awam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.

Pada 15 Ogos 2023, Muhyiddin dilepas dan dibebaskan daripada empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya untuk membatalkan kes berkenaan.

Bagaimanapun, pada 28 Februari 2024, Mahkamah Rayuan mengarahkan empat kes dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut selepas membenarkan rayuan pendakwaan. – KOSMO! ONLINE!

Read Entire Article
Pertanian | | | |