‘Memang pelik, saya rindu nyanyi lagu bahasa Melayu’

1 day ago 6

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Shila Amzah mengakui rindu untuk menyanyikan lagu bahasa Melayu dalam persembahan pentas atau konsert.

Hal ini kerana, menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, kebelakangan ini dia sering menerima tawaran untuk membuat persembahan menyanyikan lagu bahasa Mandarin.

“Kebanyakan tawaran yang saya terima, pihak penganjur mahukan saya menyanyi lagu bahasa Mandarin. Kalau saya pergi buat persembahan untuk majlis makan malam, jarang saya dapat menyanyi lagu Melayu.

“Ada penganjur yang mahu anjurkan konsert saya, tetapi mereka mahukan saya menyanyi lagu-lagu bahasa Mandarin,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media Big Stage Alpha Showcase yang berlangsung di pekarangan pintu masuk pusat beli belah terkemuka, Pavilion, semalam.

Tambah pelantun lagu Patah Seribu itu lagi, peluang dapat membuat persembahan di acara Big Stage Alpha Showcase sedikit sebanyak dalam melepaskan rindu dan giannya untuk membuat persembahan menyanyikan lagu bahasa Melayu.

“Bila berpeluang membuat persembahan di hadapan orang awam menyanyikan lagu bahasa Melayu, saya rasa terubat rindu. Mungkin kedengaran pelik, tetapi itulah hakikatnya,” kongsinya.

Tahun ini genap 25 tahun pembabitan anak kepada ND Lala itu dalam industri hiburan tanah air. Sebagai menghargai peminat, Shila bakal mengeluarkan album baharu tidak lama lagi.

“Album ini sangat istimewa kerana sempena ulang tahun ke-25 pembabitan saya dalam industri seni. Album ini memuatkan 15 buah lagu baharu dalam bahasa Melayu di mana kebanyakannya saya tulis sendiri.

“Album ini sudah hampir siap. Tinggal dua buah lagu sahaja lagi yang akan dirakam pada hujung minggu ini. Ada satu lagu duet bersama seseorang yang sangat istimewa. Seseorang yang tidak dijangka,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Shila bakal terlibat dengan program baharu terbitan Astro, Raise The Star di mana dia akan bertindak sebagai juri dan mentor. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |