PETALING JAYA – MCIS Insurance Berhad (MCIS Life) telah bekerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk memperkenalkan LungShield, satu pakej saringan paru-paru yang menyeluruh yang menggabungkan teknologi saringan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu rakyat yang berisiko menghidap kanser paru-paru.
Ketua Pegawai Eksekutif MCIS Life, Prasheem Seebran berkata, inisiatif ini menggabungkan kepakaran perubatan dan perlindungan insurans untuk memudahkan pengesanan awal.
“LungShield mencerminkan kekuatan kerjasama yang menggabungkan kepakaran NCSM dalam pencegahan dan saringan kanser dengan komitmen MCIS Life dalam menyediakan sokongan kewangan untuk pengesanan dan diagnosis awal.
“Melalui usaha ini, akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mengambil langkah proaktif untuk kesihatan paru-paru a, memastikan mereka mempunyai keupayaan untuk mengesan awal dan keyakinan untuk menghadapi perjalanan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Prasheem menerangkan, MCIS Life telah melindungi rakyatsejak tahun 1954 dan LungShield merupakan inisiatif bermakna terkini untuk memperluaskan legasi dengan penyelesaian inovatif yang menggabungkan penjagaan, teknologi dan sokongan kewangan.
Inisiatif LungShield oleh NCSM, yang disokong oleh Kementerian Kesihatan telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini.
Menurut laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia 2017–2021, kanser paru-paru adalah kanser kedua paling biasa dalam kalangan lelaki dan ketiga paling biasa dalam kalangan wanita.
Walaupun ia kerap berlaku, banyak kes masih didiagnosis pada peringkat lewat, menyebabkan peluang untuk hidup lebih rendah dan beban kewangan serta penjagaan kesihatan yang lebih berat.
LungShield adalah pakej saringan dan diagnosis kanser paru-paru yang menyeluruh, menggabungkan saringan X-ray dada berasaskan AI oleh NCSM dengan LungLife iaitu perlindungan insurans pelengkap untuk menyokong saringan yang diperlukan sepanjang perjalanan pengesanan kanser.
“Pengesanan awal melalui teknologi ini menawarkan peluang terbaik kepada individu untuk rawatan yang tepat pada masanya dan berkesan,” jelasnya.
Selain saringan, pakej ini menyediakan laluan diagnostik lengkap iaitu daripada X-ray dada awal kepada penentuan tahap lanjut menggunakan Tomografi Berkomputer Thoraks, Abdomen dan Pelvis (CT TAP) serta imunohistokimia bagi memastikan pesakit menerima keputusan yang jelas dan tepat.
Bagi mengurangkan tekanan kewangan yang sering menyusuli diagnosis kanser, LungShield turut merangkumi pelan insurans pelengkap melalui LungLife.
Ia menawarkan perlindungan sehingga RM10,000 untuk tempoh satu tahun, meringankan kos saringan dan perkhidmatan diagnostik sambil memberikan ketenangan fikiran kepada individu.
Dengan harga hanya RM129 untuk 10,000 pendaftaran pertama, pakej LungShield yang bernilai RM10,000 ini menawarkan cara mampu milik kepada rakyat untuk mendapatkan saringan dan diagnosis kesihatan paru-paru yang menyeluruh.
Selepas fasa awal ini, pakej akan ditawarkan pada harga penuh RM179, membolehkan lebih ramai rakyat mengambil langkah proaktif terhadap kesihatan paru-paru mereka.
Sementara itu, Pengarah Urusan NCSM, Kol. Bersekutu (PA) Prof. Dr Murallitharan Munisamy berkata, program ini direka untuk menangani cabaran perubatan dan kewangan.
“Misi kami di NCSM sentiasa memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir dalam perjuangan menentang kanser.
“Dengan LungShield, kami menyediakan alat canggih untuk pengesanan awal bersama sokongan kewangan bagi meringankan perjalanan mereka yang berisiko,” katanya. -KOSMO! ONLINE