BARCELONA – Aksi tidak konsisten Yuki Tsunoda semenjak menyertai pasukan Red Bull telah menimbulkan spekulasi mengenai nasib pelumba Jepun dalam perlumbaan Formula Satu (F1) tahun depan.
Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner enggan memberi jaminan mengenai tempat Tsunoda sehingga penghujung musim ini.
Tsunoda, 25, yang dinaikkan pangkat ke pasukan utama menggantikan Liam Lawson bermula cemerlang, namun prestasinya merosot sejak beberapa perlumbaan terakhir.
“Ada ketikanya Tsunoda beraksi dengan cemerlang dan turut layak ke Q3, raih mata walaupun bermula dari petak pit, tapi dalam masa sama ada juga insiden kemalangan.
“Jadi prestasi dia belum cukup konsisten. Kami percaya dia mampu, cuma perlu dapat semula keyakinan,” kata Horner.
Dalam tiga perlumbaan terakhir, Tsunoda gagal mara ke Q3, malah dua kali bermula dari petak ke-20 termasuk terlibat dalam kemalangan di Imola sebelum menamatkan saingan di tangga ke-13 di Barcelona.
Setakat ini, Tsunoda hanya mampu memungut tujuh mata, jauh di belakang pelumba muda Red Bull, Isack Hadjar yang menanti peluang dinaikkan pangkat selepas mengumpul 21 mata.
Penasihat Red Bull, Helmut Marko pula tampil mempertahankan Tsunoda sambil menyifatkan faktor teknikal di luar kawalan menjejaskan prestasi pelumba itu termasuk pelarasan jentera yang dibuat saat akhir sebelum sesi kelayakan.
“Kadang-kadang jentera memang bermasalah pada hari Jumaat, jadi pelarasan perlu dibuat sebelum kelayakan. Max (Verstappen) boleh terus sesuaikan diri, tapi Yuki perlukan beberapa pusingan. Kalau terus ke kelayakan, dia tak sempat capai rentak,” jelas Marko.
Marko turut mendedahkan Tsunoda tidak menggunakan spesifikasi penuh jentera RB21 di Barcelona ekoran kemalangan sebelum ini yang menyebabkan dia kehilangan sekitar dua hingga tiga per sepuluh saat di litar.
Buat masa ini, Red Bull masih belum mengumumkan sebarang keputusan rasmi, namun Horner memberi bayangan mahu terus menilai prestasi Tsunoda sebelum memutuskan nasibnya untuk baki musim ini. – AGENSI