PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menerima Anugerah Merit di Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2025 bagi Projek Perintis Pembakaran Bersama Biojisim di Loji Janakuasa Tanjung Bin (TBPP), Johor.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, dalam majlis yang berlangsung baru-baru ini.
Pengiktirafan itu disampaikan bagi merai pencapaian Malakoff sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga serta inovasi di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syahrunizam Samsudin, berkata anugerah ini merupakan satu pencapaian penting buat Malakoff dan pengiktirafan bermakna terhadap usahanya mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia.
“Projek Pembakaran Bersama Biojisim ini membuktikan bahawa tanggungjawab
terhadap alam sekitar dan keselamatan tenaga boleh digerakkan seiring.
“Dengan menggunakan sisa pertanian sebagai bahan api boleh diperbaharui, kami dapat mengurangkan pelepasan, mewujudkan peluang baharu untuk komuniti tempatan serta menyokong aspirasi Malaysia ke arah masa depan tenaga yang adil dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Syahrunizam, sempena ulang tahun ke-50 Malakoff tahun ini, kejayaan itu menjadi pemangkin untuk terus memacu agenda peralihan tenaga demi generasi akan datang.
Dilancarkan pada Mei tahun lalu, projek rintis ini memperkenalkan penggunaan biojisim secara lestari ke dalam dandang arang batu di loji berkapasiti 2,100 Megawatt (MW) itu.
Bermula dengan campuran biojisim dua peratus menggunakan kayu dan pelet tandan kosong kelapa sawit (EFB), projek tersebut berjaya mengurangkan pelepasan karbon dioksida dianggarkan sebanyak 755,000 tan setahun.
Sekiranya diperluas, inisiatif ini berpotensi mengurangkan pelepasan berjuta-juta tan karbon setiap tahun iaitu bersamaan dengan penanaman lebih 47 juta pokok matang, penyingkiran 449,000 kereta dari jalan raya atau pemeliharaan 2.26 juta ekar hutan.
Selain manfaat alam sekitar, projek ini turut menyumbang kepada pengurusan sisa pertanian negara.
Penggunaan EFB sebagai bahan api mampu mengurangkan pelepasan gas metana, di samping membuka peluang pendapatan baharu untuk pembekal tempatan.
“Dalam jangka panjang, peluasan penggunaan biojisim dalam sektor tenaga boleh membantu membina industri tempatan yang berpotensi untuk turut membekalkan ke loji janakuasa di luar negara.
“Ini akan memanfaatkan dengan lebih baik sisa pertanian yang melimpah di Malaysia serta mengurangkan kebergantungan
negara terhadap bahan api import seperti arang batu dan pada masa depan, Liquefied Natura Gas,” tambah Malakoff dalam kenyataan.
Dengan pengiktirafan di NEA 2025, Malakoff sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap hasrat negara mencapai neutral karbon, sekaligus memperkukuh peranan Malaysia dalam peta tenaga bersih global. – KOSMO! ONLINE