Lebih 100 taska haram di Selangor

6 hours ago 5

SHAH ALAM – Lebih 100 Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Selangor dikesan masih belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, antara cabaran dihadapi termasuk kebenaran merancang sesetengah bangunan dan isu-isu teknikal lain.

Katanya, ini termasuk dari segi penyediaan tangga keselamatan bagi kelulusan bomba dan wajib kepada pengasuh mengikuti kursus-kursus telah ditetapkan bagi pembukaan taska.

“Berdasarkan rekod terkini JKM Selangor didapati sebanyak 980 taska telah berdaftar di negeri ini.

“Sebab itu, kita wujudkan geran pusat jagaan untuk permudahkan mereka beroperasi tetapi terdapat sedikit cabaran untuk mereka mendaftar,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Selangor Care Accelerator (XCARE) 2025 di sini hari ini.

Beliau memaklumkan pihaknya mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Penilai bagi pusat jagaan pada minggu lalu untuk memilih mereka yang layak menerima geran itu.

“Setiap operator maksimum RM5,000 dan dana kita peruntukkan bagi geran adalah RM400,000,” katanya.

Jelas Anfaal, kerajaan negeri turut prihatin terhadap keselamatan dan kualiti penjagaan kanak-kanak di kalangan pengasuh rumah dengan mewujudkan program Impak dibawah Yayasan Anak Selangor (Yawas).

Ujarnya, ini kerana pengasuh tersebut tidak tertakluk kepada JKM kerana jumlah anak asuhan adalah kurang daripada empat orang.

“Program ini telah berlangsung sejak akhir 2023 dan berjaya menarik 1,000 penyertaan termasuk makcik-makcik, nenek atau kejiranan yang ditawarkan geran RM2,000 untuk kualiti penambahbaikan peralatan dalam rumah,”katanya.

Mengulas mengenai XCARE 2025, beliau memberitahu, seramai 22 pusat jagaan, kesihatan mental dan perbidanan terlibat dengan melalui tujuh modul berkaitan pembangunan perniagaan di samping kelas dan klinik pemasaran.

“Ini selaras dengan teras 4 Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024-2030 seterusnya memartabatkan peniaga dan melindungi yang dijaga mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |