PETALING JAYA – Jaguh perseorangan badminton profesional negara, Lee Zii Jia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat sukan tanah air selepas memuat naik satu hantaran di media sosial yang seolah-olah memberi bayangan dirinya sedang bergelut dengan tekanan atau emosi tertentu.
Menerusi beberapa gambar yang dimuat naik di Instagram miliknya malam tadi, Zii Jia dilihat menampilkan lukisan ekspresi wajah yang suram, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat dan rakan seperjuangan mengenai keadaan emosinya ketika ini.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata rakan atlet serta peminat setia jaguh negara itu tampil memberi kata-kata semangat dan sokongan buat Zii Jia agar terus kuat menghadapi ujian yang sedang dilaluinya.
Antara yang turut memberi reaksi ialah rakan baiknya yang juga pemain badminton wanita negara, Goh Jin Wei tampil mendoakan kesejahteraan atlet itu.
“Biarkan waktu mengubati semuanya,” komen Jin Wei.
Para peminat sukan tanah air turut menyatakan keyakinan bagi meningkatkan semangat jaguh badminton negara berkenaan.
“Saya faham kesukaran yang kamu hadapi sekarang, tapi saya percaya pada awak. Langkah demi langkah, awak akan bersinar semula,” kata Khai Yuen Chao.
“Saya harap tuhan akan permudah segala urusan kamu, mungkin masalah yang tidak dapat diungkapkan, minda yang penuh tanda tanya. Kami sebagai peminat akan sentiasa berada di belakang kamu dan menyokong,” ujar seorang pengguna.
Terdahulu, juara Kejohanan Seluruh England 2021 sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian buku lali ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe dalam kejohanan Terbuka Arctic yang berlangsung pada Disember tahun lalu.
Kecederaan tersebut memaksa beliau menarik diri daripada menyertai sebarang kejohanan utama tahun ini bagi memberi tumpuan penuh terhadap proses pemulihannya.
Situasi itu juga secara tidak langsung menjejaskan kedudukannya dalam ranking dunia apabila beliau kini terkeluar daripada senarai 20 pemain terbaik dunia dan kini berada di tangga ke-27.
Kali terakhir Zii Jia beraksi di gelanggang adalah pada Kejohanan Seluruh England Mac lalu dan dijangka membuat kemunculan semula dalam Kejohanan Terbuka Jepun yang dijadual bermula 15 Julai ini. – KOSMO! ONLINE