Kiri kanan pegang pistol, ‘koboi’ tembak pelanggan restoran

13 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Suasana tenang di sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, Brickfield di sini kelmarin bertukar cemas dengan kejadian serangan bersenjata api ala koboi didalangi dua lelaki berjaket hitam.

Kejadian sekitar pukul 10.30 malam itu menyebabkan seorang pengunjung maut, manakala dua lagi cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang suspek.

Berdasarkan beberapa video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular, dua suspek tersebut dilihat datang ke restoran berkenaan dengan menunggang sebuah motosikal sebelum seorang daripadanya meluru ke sebuah meja makan dan melepaskan tembakan dipercayai menggunakan dua pucuk pistol.

Seorang suspek kemudian menuju ke arah sebuah meja makan di luar restoran berkenaan yang diduduki tujuh individu sebelum dia melepaskan beberapa das tembakan.

Serangan itu turut mencetuskan suasana panik di bahagian dalam restoran yang menempatkan beberapa pengunjung termasuk kanak-kanak yang sedang menjamu selera.

Menerusi CCTV di dalam restoran berkenaan, kelihatan ada pengunjung terpaksa lari membawa anak kecil selain ada cuba bersembunyi di bawah meja.

Pekerja yang menghidang makanan juga turut kelihatan panik dan lari meninggalkan meja pelanggan.

Di video lain, kelihatan seorang lelaki berbaju putih terbaring di dalam restoran dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat terkena tembakan.

Di akhir video setelah merasakan keadaan mulai selamat, beberapa buah keluarga bergegas melarikan diri dari pintu restoran untuk menyelamatkan diri.

Mengulas lanjut, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, serangan itu membabitkan dua individu yang datang ke restoran berkenaan dengan menunggang motosikal.

“Ketiga-tiga mangsa yang terlibat berusia antara 20 hingga 40 tahun. Seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Ku Mashariman berkata, seorang mangsa mengalami kecederaan serius, manakala seorang lagi cedera ringan dan sedang dirawat di PPUM.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup bagi mengenal pasti motif kejadian dan suspek terlibat.
“Kita yakin dapat mengenal pasti suspek dalam masa terdekat. Orang ramai tidak perlu gusar dengan kejadian ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, serangan di tempat terbuka yang berlaku di sebuah restoran di Brickfields kelmarin disifatkan sebagai satu serangan ala ‘koboi’ yang sering dikaitkan dengan kegiatan gangster.

Ini berdasarkan tindakan seorang suspek yang secara terancang melepaskan beberapa das tembakan ke arah sekumpulan lelaki.

Tidak cukup dengan itu, suspek kemudian dilihat mengejar salah seorang mangsa sehingga ke dalam premis restoran sebelum melepaskan tembakan sekali lagi.

Read Entire Article
Pertanian | | | |