Kastam gagalkan cubaan seludup e-waste, skrap logam bernilai RM4.4 juta

5 hours ago 3

BENTONG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan dua cubaan membawa masuk barangan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta skrap logam dari luar negara bernilai RM4, 402,490, dalam satu operasi bersepadu antara Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, serbuan melibatkan tujuh kontena itu dilakukan secara serentak di CP-Hold Yard North Port, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 21 Mei lalu.

Tambahnya, kejayaan rampasan itu merupakan hasil risikan serta pemantauan rapi pasukannya yang tidak pernah berkompromi dalam isu penyeludupan, khususnya melibatkan barangan larangan yang boleh mencemarkan alam sekitar.

“Dalam kes pertama sebanyak tiga buah kontena bersaiz 12.2 meter dirampas selepas didapati membawa dagangan e-waste seberat 46,726 kilogram yang dianggarkan bernilai RM700,890. Pemeriksaan mendapati barangan tersebut diimport tanpa permit dan diikrarkan secara tidak benar dalam Borang Kastam 1 sebagai ‘copper concentrate’.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengikrarkan dagangan sebagai barangan lain bagi mengelak keperluan permit import,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Bentong, di sini, hari ini.

Tambah Mohd Asri, dalam serbuan kedua pula, empat lagi kontena bersaiz sama ditahan selepas dikesan membawa skrap logam seberat 105,760 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM3,701,600.

Katanya, barangan terbabit dipercayai dibawa masuk dari Jepun dan Amerika Selatan, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang bertanggungjawab terhadap penghantaran tersebut.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti pemilik sebenar barangan yang diseludup, “ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |