Kastam batal 898 ejen, 21 lesen import

14 hours ago 6

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus memperkukuh tadbir urus serta integriti dengan mengambil tindakan tegas terhadap ejen kastam dan pemegang lesen import yang gagal mematuhi perundangan sedia ada.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) berkata, sebanyak 898 kelulusan ejen kastam telah dibatalkan atau digantung dalam tempoh Januari 2023 hingga Mei 2025 kerana ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah perundangan kastam.

“Daripada jumlah tersebut, 758 syarikat direkodkan sepanjang tahun 2025 sahaja, hasil pelaksanaan inisiatif pemutihan oleh Unit Kawalan Ejen Kastam di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam tempoh sama, sebanyak 21 lesen import rokok, minuman keras dan tembakau (RMK) turut dibatalkan atau digantung atas kesalahan yang sama. Ia melibatkan sembilan lesen pada tahun 2024 dan sembilan lagi dari Januari hingga Mei 2025.

Menurut Norlela, JKDM akan mengambil tindakan tegas seperti pembatalan kelulusan, pendakwaan atau menyenarai hitam mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, tidak menjalankan ketekunan sewajarnya (due diligence), serta gagal mematuhi Kod Etika Ejen Kastam.

“Semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara teliti dan adil mengikut peruntukan undang-undang bagi melindungi hak sah pemegang lesen,” ujarnya.

Sebagai agensi utama pemungut cukai tidak langsung negara dan fasilitator perdagangan, JKDM kini menguatkuasakan sembilan akta di bawah pentadbirannya, selain memantau pelaksanaan 67 akta agensi lain dan lebih 100 peraturan kerajaan.

Norlela turut menyambut baik saranan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam usaha berterusan menambah baik tadbir urus jabatan dan memperkukuh integriti serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

“JKDM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan penguatkuasaan yang adil dan berkesan serta menjamin kesinambungan perdagangan negara,” jelasnya.

Tambah beliau, orang ramai diseru untuk membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan haram, yang bukan sahaja merugikan negara, tetapi turut mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

JKDM turut merayu kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi Pejabat Kastam terdekat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |