AMPANG – Seorang jurulatih berbasikal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 15 tahun yang juga pelatih berbasikal di sebuah stor tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh Nor Effandy Rosli, 58, yang juga bekas pelumba basikal lebuh raya negara itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Mengikut pertuduhan, Nor Effandy didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih berbasikal telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun (ketika kejadian).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stor simpanan basikal di Taman Desa Keramat di sini pukul 6 petang pada sekitar Jun 2024 lalu
mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1).
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie menawarkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh melapor diri di balai polis.
Mendengar jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan, peguam Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kerana tetuduh penanggung utama keluarga dan isterinya juga tidak bekerja.
“Tertuduh juga bukan seorang flight risk (berisko melarikan diri) dan hari ini tertuduh datang sendiri ke mahkamah yang mana sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan dijalankan,” kata peguam itu yang turut memaklumkan tertuduh kini bekerja sebagai pembantu penguatkuasa di sebuah agensi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Norshila membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri dibalai polis sekali setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
“Tertuduh juga dilarang menganggu atau menghubungi mangsa yang boleh menjejaskan perjalanan kes, ” kata hakim itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Ogos ini bagi sebutan semula kes.
Untuk rekod, Nor Effandy pernah mewakili negara dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) selama 10 tahun berturut-turut dari 1996 hingga 2005 selain pemegang pingat perak Sukan Komanwel 1998 acara 184 kilometer (km). – KOSMO! ONLINE