Ini punca utama nahas ragut nyawa 9 anggota FRU di Teluk Intan

1 day ago 8

PETALING JAYA – Tindakan pemandu lori muatan batu atau lori tipper memasuki lorong arah bertentangan dikenal pasti sebagai punca utama nahas yang mengorbankan sembilan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak bulan lalu.

Dapatan tersebut adalah hasil siasatan awal Pasukan Petugas Khas Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Menerusi siasatan itu juga, pasukan tersebut turut mengenal pasti wujudnya kelompangan dalam aspek pengurusan keselamatan dan pengoperasian lori terbabit.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti faktor-faktor penyumbang lain yang mungkin terlibat, termasuk faktor manusia, organisasi, kenderaan dan lain-lain
yang berkaitan,”kata laporan terbabit hari ini.

Tambah laporan itu, siasatan juga mendapati lori tipper tersebut juga membawa muatan berlebihan iaitu sebanyak 70.67 peratus.

Jelasnya, berat dengan muatan (BDM) lori terbabit adalah kira-kira 40,960 kilogram (kg) berbanding had yang dibenarkan (BDM 24,000 kg).

“Lori terbabit juga gagal dalam audit Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) dengan skor hanya 15 peratus (markah lulus: 70 peratus), termasuk kegagalan dalam kesemua tujuh perkara mandatori.

“Lori terbabit juga tidak mempunyai penyelia keselamatan seperti yang ditetapkan oleh
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),”katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan teknikal kenderaan Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati komponen tayar, brek dan suspensi bagi lori membawa muatan kerikil berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, menurut laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mendapati, tiada bukti menunjukkan kegagalan sistem mekanikal menyebabkan kemalangan itu berlaku.

“Kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca dari faktor lain seperti manusia, keadaan jalan dan sebagainya,”kata Puspakom.

Terdahulu, pada 13 Mei lalu, sebuah kemalangan tragis berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, melibatkan trak yang dinaiki anggota FRU dan sebuah lori muatan batu.

Kemalangan tersebut berlaku sekitar pukul 8.50 pagi dan mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan serius. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |