JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier dan menyembunyikan dadah jenis morfin di bawah bungkusan gula-gula bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Bagaimanapun, taktik sindiket yang menyeludup dadah dari Hong Kong itu berjaya dihidu pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor dan merampas lebih 10 kilogram (kg) dadah jenis morfin bernilai hampir RM1 juta.
Pengarah Kastam Negeri, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai kastam Cawangan Narkotik Johor melakukan pemeriksaan ke atas dua buah kotak parcel yang mencurigakan di sebuah pejabat Pos Laju di daerah ini, 23 April lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap setiap kotak tersebut telah menjumpai dua bungkusan gula-gula yang diletakkan di atas botol putih yang mengandungi cecair hitam.
“Ujian dan saringan awal terhadap cecair hitam tersebut mendapati ia positif dadah jenis morfin dengan anggaran berat 10.194 kg yang dianggarkan bernilai RM955,687.
“Siasatan awal mendapati parcel itu dihantar dari Hong Kong ke sebuah rumah teres dua tingkat di Pulai,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam, di sini hari ini.
Katanya, status berkaitan pemilikan rumah itu dan jumlah individu terlibat masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Tambahnya, pihaknya percaya sindiket terbabit cuba menyeludup dadah masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai penghantaran barangan biasa bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Modus operandi mereka adalah menggunakan bungkusan gula-gula sebagai penutup dan meletakkan dadah dalam botol cecair berwarna hitam yang sukar dikesan tanpa pemeriksaan rapi.
“Rampasan ini adalah kejayaan besar JKDM Johor dan kami akan terus mempergiatkan pemeriksaan terhadap bungkusan mencurigakan di semua pintu masuk termasuk pusat mel dan kurier,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar dadah.-KOSMO! ONLINE