Ibu tidak dapat tidur, terbayang senyuman arwah anak

16 hours ago 6

SIK – Seorang ibu masih terbayangkan senyuman manis anaknya, Muhammad Fahmi Jamel, 19, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 49.4 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Tandop, Alor Setar, semasa kali terakhir bertemu pada Isnin lalu.

Menurut Siti Fatimah Mat Rejab, 45, dia tidak dapat tidur kerana asyik teringatkan arwah anaknya itu

“Wajah Fahmi nampak bersih dan tenang seperti sedang tidur ketika saya melihatnya kali terakhir sebelum dikebumikan.

“Semalam saya tidak dapat tidur langsung kerana asyik terbayangkan wajah dia, sepatutnya petang semalam dia balik tetapi yang balik hanya jenazahnya,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berona Kanan, Jeniang, di sini hari ini.

Katanya lagi, arwah yang merupakan pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra sangat rapat dengannya dan akan menghantar pesanan menerusi WhatsApp setiap hari.

“Semalam dia senyap dan saya rasa ada yang tidak kena sebelum waris kepada rakan anak memaklumkan tentang kemalangan menimpa Fahmi. Saya hanya tahu anak sudah tiada sebaik tiba di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” ujarnya.

Katanya, kali terakhir dia berbual dengan anaknya itu pada kelmarin yang mana Muhammad Fahmi meminta wang RM450 untuk menggantikan telefon pintarnya yang rosak.

“Biasanya setiap kali hari raya, arwah akan minta saya masakkan mi kari atau laksam kerana itu adalah makanan kegemarannya tetapi semua itu sudah tiada lagi,” katanya.

Tambahnya, Muhammad Fahmi menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mahu bekerja dalam bidang kimpalan dalam laut yang menjanjikan pendapatan lumayan.

“Fahmi sering suarakan hasrat untuk bekerja di atas kapal, menjadi jurukimpal profesional dan mengikut jejak langkah abang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

“Fahmi memang mahu jadi seperti abang Sanusi iaitu Shabudin yang pernah singgah di kedai makan saya selepas pulang dari kebunnya di kampung ini, saya tahu Fahmi sangat kagumi dia (Shabudin),” katanya.

Jenazah Muhammad Fahmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berona Kanan, di sini pada pukul 12 tengah malam tadi.

Dalam kemalangan itu, dua lagi rakan Muhammad Fahmi yang maut ialah Muhammad Habil Mohd Sobri dari Gurun dan Muhammad Arif Aifan dari Bukit Selambau, dekat Sungai Petani.

Sementara, seorang lagi rakan mereka, Muhammad Adib Aiman Mohd Hasani mengalami kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |