Ibadah korban Malbatt 850-12 kukuh hubungan dengan komuniti Lubnan

9 hours ago 3

PETALING JAYA – Ibadah korban yang dilaksanakan anggota Batalion Pengaman Malaysia (Malbatt) 850-12 mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malbatt dan masyarakat tempatan, selaras dengan semangat Civil-Military Cooperation (Cimic).

Malbatt dalam kenyataan berkata, program yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha itu berlangsung di Kem Marakah, Selatan Lubnan semalam menjadi satu usaha warga pasukan dalam menunaikan tanggungjawab keagamaan serta menghayati semangat pengorbanan yang menjadi teras perayaan tersebut.

“Program ibadah korban yang dilaksanakan ini bukan sekadar usaha menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam dalam menyambut Hari Raya Aidiladha, secara tidak langsung mencerminkan komitmen berterusan Malbattdalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat tempatan selaras dengan semangat misi pengaman UNIFIL.

“Ia menjadi simbol ketaatan, keikhlasan dan semangat berkorban demi ummah serta menzahirkan nilai kasih sayang
dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, keunikan program ini apabila anggota Malbatt berpeluang melibatkan diri secara langsung dalam proses penyembelihan haiwan korban masing-masing.

“Ia sekali gus memberi pengalaman mendalam terhadap erti pengorbanan dan nilai keikhlasan dalam ibadah,” ujarnya.

Pada program berkenaan sebanyak 48 ekor kambing telah dikorbankan dalam program itu dengan 26 ekor disumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Takaful Marakah dan wakil penduduk Kafr Shub untuk diagih kepada penduduk setempat.

“Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti memasak secara bergotong-royong oleh warga pasukan.

“Daging korban dinikmati bersama dalam jamuan Aidiladha yang berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan keharmonian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |