Hevel yakin Harimau Malaya lebih ‘ganas’

6 hours ago 3

KEHADIRAN ramai pemain berdarah warisan baharu membawa ‘aura’ berbeza buat Harimau Malaya menjelang pertemuan getir kelayakan Piala Asia 2027 menentang juara Asia Tenggara, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Pandangan itu disuarakan oleh tonggak kacukan Belanda-Malaysia, Hector Hevel yang melihat sekarang adalah masa terbaik untuk pasukan kebangsaan menamatkan kemarau 11 tahun tanpa kemenangan ke atas skuad Naga Emas itu.

Perancang tengah berusia 29 tahun itu yang meraih kaps antarabangsa pertama ketika aksi menentang Nepal pada Mac lalu, percaya rakan sepasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk menghapuskan badi tersebut.

“Pasukan kami juga sudah berubah dengan kehadiran ramai pemain warisan baharu. Saya optimis ia bakal menjadi nilai tambah untuk menguatkan pasukan nanti.

“Kami sedar bahawa pasukan sudah lama tidak pernah meraih kemenangan ke atas Vietnam. Ketika ini, mereka juga mempunyai skuad yang bagus dan bermain dengan baik.

“Apa yang penting, kami fokus dengan pasukan dan saya harap semua pemain sudah bersedia menghadapi perlawanan dalam usaha memburu kemenangan yang cukup penting,” kata Hevel yang bakal menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan.

Pengurusan Harimau Malaya bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengumumkan kehadiran lima bintang warisan ‘gred A’ baharu seperti Immanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces.

Mengulas lanjut, Hevel yang memiliki susur galur sebelah datuknya dari Melaka mengakui tidak pernah berasa tertekan terhadap jangkaan peminat kini semakin tinggi selepas meledak gol dalam debutnya ketika bertemu Nepal sebelum ini.

“Jelas sekali apabila saya menjaringkan gol pada aksi debut, sudah tentu perhatian diberikan kepada saya. Namun, saya tidak tertekan, sebaliknya akan terus berusaha bantu pasukan,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |