SHAH ALAM – Taktik sindiket pengedaran dadah Geng Alstonia berselindung sebagai pemandu e-hailing sejak lapan bulan lalu terbongkar menerusi lima serbuan berasingan, Selasa lalu.
Serbuan yang dilakukan lebih empat jam bermula pukul 6 petang tersebut, berjaya menahan sembilan suspek termasuk ketuanya berusia 24 hingga 36 tahun.
Semua serbuan melibatkan kawasan sekitar Bukit Jalil, Semenyih, Puchong dan Kajang itu berjaya merampas pelbagai dadah bernilai RM5.1 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu hasil risikan selama dua bulan dengan pengedaran dilakukan secara bersemuka atau dalam talian serta di pusat hiburan.
Katanya, semua ahli sindiket termasuk dua wanita berkenaan bertindak sebagai pengedar dan ‘runner’.
“Keuntungan bagi pengedar adalah sehingga RM7,000 sebulan manakala runner bergantung kepada tugasan dengan upah antara RM100 hingga RM200 bagi sekali penghantaran.
“Dalang sindiket ini bekerja sebagai pemandu e-hailing namun dalam masa sama membekalkan dadah. Suspek menggunakan kerjanya itu sebagai penyamaran aktiviti haramnya,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket ini turut menggunakan modus operandi dengan mencampur dadah dalam bentuk jus minuman dan perisa vape.
Malah, kata Hussein, sebotol teh Cina yang dijual mereka dianggarkan bernilai RM300 yang sering digunakan bagi parti persendirian.
“Hasil siasatan mendapati ada suspek yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, peniaga makanan, ‘personal shopper’.
“Selain itu, seorang wanita warga asing yang ditahan dipercayai kekasih dalang sindiket ini. Dia telah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, pihak mempercayai mereka mendapat bekalan dadah itu daripada pengedar yang lain susulan rampasan pelbagai jenis dadah.
Ini termasuk 26 kilogram (kg) serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), ketamin (4.7kg) selain serbuk dan pil ecstacy, pil erimin 5 serta katrij vape mengandungi dadah.
“Kita turut menyita lima kenderaan termasuk jenis BMW 320i, jongkong emas, barangan kemas, jam tangan, beg tangan berjenama LV dengan nilai keseluruhan RM341,449. 16.
“Hasil ujian air kencing mendapati enam daripada suspek positif dadah dan tiga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.
Jelasnya, semua suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE