KUALA LUMPUR – Kesalinghubungan ekonomi global dan usaha kerjasama rentas negara kini semakin terancam akibat kebangkitan fahaman proteksionisme (dasar perlindungan) dan nasionalisme sempit yang ironinya, kini banyak hadir dari dunia barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu menandakan peralihan ke arah dunia pasca globalisasi, ketegangan geopolitik, tarif timbal balik, dan gangguan rantaian bekalan yang telah mencetuskan ketidakpastian, menghakis kebolehramalan, kebolehpercayaan dan kestabilan yang pernah ditawarkan oleh ekosistem perdagangan global.
“Kerapuhan ini mungkin paling ketara dalam domain tenaga dan iklim. Berbanding memupuk kerjasama, kita menyaksikan perubahan dasar polarisasi yang didorong oleh persaingan strategik, walaupun keselamatan tenaga masih di luar jangkauan.
“Bagi kebanyakan warga Asia, kami berpegang teguh pada kepercayaan bahawa diplomasi mengatasi autokrasi, dan persaingan sihat boleh wujud dengan membawa hasil yang menguntungkan semua.
“Visi kami untuk ASEAN 2025 mencerminkan kepercayaan ini sambil kami berusaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam rantau ini dan dengan negara-negara sahabat. Ini kekal penting di tengah-tengah peningkatan polisi perlindungan dan anjakan geopolitik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam persidangan yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari seluruh dunia itu, Anwar turut menyatakan bahawa naratif globalisasi yang sering kali ditafsirkan dari sudut pandang dunia barat perlu dipersoalkan dan difahami secara lebih adil.
Jelasnya, Asia bukan sekadar menjadi penerima dalam arus dan manfaat globalisasi, sebaliknya telah pun terlibat dalam tamadun pertukaran perdagangan sejak berkurun lamanya, dan turut menjadi pencorak kepada usaha globalisasi itu sendiri.
“Di sini, di Asia dan di Malaysia, kami memandang serius mereka yang mendakwa bahawa globalisasi hanyalah sumbangan atau pengalaman selepas tamadun barat.
“Kita mempunyai negara dari Mekah ke Madinah, (hingga) Melaka ke China yang benar-benar turut serta dan mengalami globalisasi secara nyata, lebih telus, saling berkaitan dan pada asasnya mengajar rakan dagang sebagai rakan kongsi yang sebenar.
“Di fikiran saya, tiada kebenaran dalam dakwaan bahawa semua ini adalah import baharu dari tamadun barat,” tegasnya.
Dianjurkan oleh Petronas dengan sokongan CERAWeek by S&P Global dan 52 penaja korporat, Energy Asia 2025 bertemakan ‘Menyampaikan Peralihan Tenaga Asia’ itu menampilkan lebih daripada 180 penceramah terkenal di seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE