Fadhlina selar tindakan pihak politikkan isu pergaduhan murid di Terengganu

10 hours ago 6

PUTRAJAYA-Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyelar sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan isu pergaduhan melibatkan dua orang murid di sebuah sekolah di Terengganu baru-baru ini.

Fadhlina berkata, fitnah mengaitkan ibu salah seorang murid terlibat dengan beliau adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

Katanya, beliau juga tidak pernah mengenali individu tersebut.

“Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengambil tindakan ke atas kes ini mengikut prosedur standard operasi (SOP) Buli dan Salah Laku yang sedang
berkuatkuasa.

“Sebagai langkah susulan, saya turut mengarahkan Unit Integriti Kementerian Pendidikan untuk melakukan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Fadhlina berkata, beliau turut mengikuti rapat perkembangan isu itu dan mahu ianya diselesaikan segera.

“KPM tidak berkompromi dengan buli dan perbuatan salah laku lain. Tindakan tegas mesti diambil ke atas sesiapa sahaja yang bersalah.

“Semua institusi pendidikan mesti dipastikan berada dalam keadaan selamat demi kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya.

Terdahulu, JPNT mengesahkan insiden tular di sebuah sekolah di negeri ini tidak melibatkan kes buli sebagaimana didakwa di media sosial, sebaliknya berpunca daripada salah faham.

JPNT dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku akibat salah faham antara dua murid dan tidak melibatkan unsur buli.

JPNT turut memberi jaminan bahawa isu terbabit akan diselesaikan secara harmoni dan berhemah demi kesejahteraan semua pihak termasuk murid, ibu bapa serta pihak sekolah.

Pada Jumaat lalu, tular satu hantaran di Instagram oleh bapa kepada seorang murid perempuan yang mendakwa anaknya mengalami kecederaan akibat dipukul oleh seorang murid lelaki sehingga terpaksa dirawat di hospital. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |