PEMAIN naturalisasi Harimau Malaya, Endrick Dos Santos mengakui rahsia pasukan Vietnam berada dalam ‘poketnya’ menjelang perlawanan getir kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.
Sebagai rekod, Endrick yang berusia 30 tahun telah berkelana hampir setahun di bumi Vietnam apabila mewakili kelab Ho Chi Minh City dalam saingan divisyen satu secara pinjaman daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kini, perancang kelahiran Brazil itu sedia untuk membantu pasukan untuk menamatkan badi badi 11 tahun tanpa kemenangan menentang seteru Asia Tenggara itu selepas kali terakhir menang pada tahun 2014.
Menurut Endrick, barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Peter Cklamovski pasti ada perancangan tersendiri selain dirinya turut menyumbangkan input mengenai cara untuk menewaskan skuad Naga Emas itu nanti.
“Kami juga ada pakar analisis yang mengkaji corak permainan pasukan lawan. Kita akui kelebihan utama pasukan lawan adalah mereka pantas, kuat dan agresif, tetapi mereka juga ada kelemahan.
“Buat masa sekarang, kami berlatih bersungguh-sungguh, ikut perancangan yang telah ditetapkan oleh jurulatih. Saya yakin pasukan kini dalam kedudukan yang baik untuk meraih keputusan yang diharapkan,” katanya.
Kali terakhir skuad negara menang ke atas Vietnam ketika aksi separuh akhir Piala ASEAN 2014 yang ketika itu dibimbing oleh Datuk Dollah Salleh dengan keputusan 4-2, namun, lapan aksi kompetitif berikutnya berakhir dengan tujuh kekalahan dan satu keputusan seri.
Cklamovski dilihat berpotensi membantu Harimau Malaya meraih keputusan positif ke atas Vietnam sekali gus menamatkan badi yang sebelum ini gagal dihapuskan oleh bekas jurulatih-jurulatih kebangsaan seperti Datuk Ong Kim Swee, Tan Cheng Hoe dan Kim Pang-gon.
Ini disebabkan persiapan rapi yang bakal dilakukan sejak bulan lalu selain kehadiran lima pemain berdarah warisan baharu seperti Immanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces.