PETALING JAYA – Tindakan berani seorang lelaki meragut rantai emas milik wanita di hadapan rumahnya membawa padah apabila kegiatan jenayah terancang yang membabitkan 39 kes samun ragut di sekitar Lembah Klang akhirnya tumpas.
Dalam kejadian pada 10 Februari lalu kira-kira pukul 1.30 petang di Taman Bukit Kuchai, suspek yang menunggang motosikal dan memakai jaket coklat menarik rantai emas bernilai kira-kira RM20,000 dari leher mangsa sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, hasil siasatan kes yang dibuka di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan membawa kepada pelancaran operasi khas Op Sentap Jay.
“Dalam tempoh tiga hari operasi bermula 27 Mei hingga 30 Mei, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dengan bantuan Respon Team Balai berjaya menahan lima individu iaitu tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia 20 hingga 30 tahun.
“Semakan dapati tiga daripada suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan narkotik, namun ujian saringan air kencing kesemua mereka negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, hasil serbuan berjaya membawa kepada rampasan pelbagai barangan dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah termasuk motosikal, topi keledar, pakaian, telefon bimbit, komputer riba, surat pajakan emas, surat jualan emas serta beberapa barang kemas.
“Dengan tertangkapnya kumpulan ini, 39 kes samun ragut di tiga daerah utama di Selangor Serdang, Kajang dan Subang Jaya berjaya diselesaikan. Jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM113,000,” ujarnya.
Tambah beliau, suspek utama seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun telah dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 20 Jun lalu dengan sembilan pertuduhan berasingan.
“Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. Mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM18,000,” katanya.
Polis Serdang menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Serdang di talian 03-8074 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE